KUCHING, 25 NOVEMBER 2021 (SNN) : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada mesyuarat semalam menetapkan 18 Disember 2021 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihak SPR juga bersetuju hari penamaan calon diadakan pada 6 Disember 2021. Manakala hari mengundi awal adalah pada 14 Disember 2021
Dalam pada itu, beliau juga menambah, SPR telah melantik 82 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan dibantu seramai 249 Penolong Pegawai Pengurus bagi melancarkan proses PRN Ke-12 negeri Sarawak ini.
“Manakala bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang terdiri daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding,” katanya dalam sidang media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-12 di Kuching, pada Rabu.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DDPR) yang akan digunakan pada PRN Sarawak Ke-12 ini adalah Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilihan Tambahan (DPT) ST2/2031 yang dikemaskini sehingga 2 November 2021. Daftar Pemilih tersebut mengandungi 1, 252,014 orang pengundi yang terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10, 458 orang anggota polis PGA dan pasangan serta 113 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
Para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR pengundi.spr.gov.my atau menghubungi talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak bermula 1 Disember 2021.