KUCHING, 09 NOVEMBER 2021 (SNN) : Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka sebelum ini, Datuk Abdul Wahab Aziz sekali lagi mengesahkan bahawa beliau melepaskan atau tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum, PRU DUN Sarawak ke-12 kali ini.
Memetik laporan dari RTM Sarawak, keputusan tersebut dibuat atas kemahuan beliau ingin berehat dari arena politik serta memberi laluan kepada muka baharu dan calon yang lebih muda untuk bertanding bagi DUN 38 Kalaka.
Ketika ditemui media di pejabatnya di Kuching, beliau memberitahu bahawa hasratnya untuk tidak bertanding pada plihan raya kali ini sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, GPS merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ketika ini kata beliau, tugas dan aktiviti parti di seluruh kawasan DUN tersebut digalas oleh Ketua Cawangan PBB Kalaka, Mohamad Duri.
Datuk Abdul Wahab Aziz, 74 tahun mula menceburi politik pada tahun 1987 namun kalah pada pilihan raya tahun tersebut kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Abang Yusuf Abang Puteh yang mewakili Parti PERMAS sebelum memenangi kerusi Kalaka pada tahun 1991 dan kekal bertahan hingga sekarang.
Sepanjang karier beliau sebagai ahli politik, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kabinet negeri Sarawak antaranya sebagai Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Menteri Muda Perumahan dan Perancangan Bandar serta Menteri Muda Pembangunan Tanah.