KUCHING, 24 OKTOBER 2021 (SNN) : Kejayaan seorang pelajar tahun 3 Universiti Newscastle, United Kingdom (UK) yang kini mengikuti program 4 tahun dalam bidang ‘Undergraduate with integrated Masters in Cellular and Molecular Biology’ Umairatul Syaziah Roeslan, 21 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak yang berjaya memenangi anugerah ‘Undergraduated Microbiology Prize 2021’ daripada British Microbiology Society harus dicontohi oleh anak Sarawak yang lain dalam mengejar impian masing-masing.
Memetik artikel daripada Utusan Borneo, Umairatul atau lebih senang dipanggil Syaziah ketika dihubungi media berkata karangan yang telah ditulisnya mengenai kepelbagaian biokimia yang ditunjukkan oleh bakteria anaerobik menerangkan proses biokimia tertentu dalam organisma tertentu. Setelah banyak membuat kajian dan pembacaan ilmiah serta meneliti kajian-kajian yang telah dibuat sebelum ini, beliau membuat keterangan tentang bagaimana ia dapat diterapkan dalam sektor pertanian dan bioteknologi.
“Disebabkan itulah, pensyarah universiti mencalonkan saya dan menghantar karangan integratif itu sebagai contoh karya yang cemerlang dalam subjek itu dan saya tidak menyangka usaha untuk menunjukkan hasil yang terbaik membawa kepada kejayaan dalam pertandingan tersebut,” katanya.
Bercakap tentang bidang diceburinya, Syaziah berkata, pada mulanya dia ingin mengambil jurusan perubatan, tetapi oleh kerana lebih berminat untuk menjadi saintis dan membuat penyelidikan serta kajian mendalam, dia memutuskan untuk mengambil tawaran daripada Newcastle University, UK untuk mengikuti program 4 tahun, ‘Undergraduate with Integrated Masters in Cellular and Molecular Biology’.
Tambahnya, bidang tersebut bukan sahaja mendedahkan dirinya kepada bidang kepakaran seperti biokimia, bioteknologi, kejuruteraan bioperubatan dan bioprospeksi, malah ia juga mendedahkan kepada salah satu aspek penting dalam kajian saintifik iaitu bioinformatik. Oleh kerana perkembangan dalam bidang sains yang begitu pantas, ia telah menjadi semakin sukar untuk memahami keadaan terkini dalam penyelidikan biologi tanpa pengalaman dan pemahaman mengenai pengkomputeraan biologi.
Bercakap mengenai keperibadian dirinya, Syaziah menjelaskan apabila dia menginginkan sesuatu dia akan berusaha dengan gigih untuk mencapai impian tersebut. Sejak berumur sembilan tahun lagi, dia berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka seperti University of Cambridge di United Kingdom. Katanya lagi, beliau pernah disenarai pendekkan untuk ditemu duga oleh universiti berkenaan pada penghujung tahun 2018 namun oleh kerana saingan yang hebat beliau tidak terpilih sebagai pelajar bagi sesi 2019/2020 di universiti itu.
“Walau bagaimanapun, saya tetap berazam untuk mencapai hasrat saya dengan sentiasa gigih memperbaiki kemahiran diri seperti mendapatkan sijil pencapaian dalam ‘Data Science for Life Sciences’ dari Harvard University dan juga kejayaan dalam memperolehi anugerah Undergraduate Microbiology Prize 2021′ ini. Walaupun perjalanan masih jauh tetapi saya gembira kerana kini berada di satu langkah ke hadapan untuk meraih impian saya,” jelasnya lagi.
LATAR BELAKANG KELUARGA SYAZIAH YANG MENJADI PEMBAKAR SEMANGAT
Umairatul Syaziah yang merupakan anak tunggal berkata, kedua-dua ibu bapanya adalah orang Sarawak yang mana datuknya, Abang Basri Abang Mohamad, ayah kepada ibunya merupakan perintis dalam memperkenalkan saluran TV3 di Sarawak pada sekitar tahun 1988. Manakala ayah kepada ayah beliau, Rambli Adros Yahya pernah memegang jawatan Pengarah Imigresen Sarawak selama 30 tahun dari sekitar tahun 1977 hingga 1996.
“Saya amat beruntung sebab keluarga saya banyak memperjuangkan untuk negeri Sarawak seperti arwah moyang saya, iaitu Tan Sri Datuk Amar Abang Ikhwan Zaini dan saya amat berbangga jika saya dapat mengikuti jejak langkah mereka dalam memberikan sumbangan yang besar ke atas negeri ini seperti yang telah mereka lakukan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Syaziah menasihatkan golongan pelajar terutama kepada anak-anak Sarawak agar tidak mudah berputus asa dalam memenuhi impian masing-masing. Sebaliknya jika kita menunjukkan ketabahan dalam mencapai impian, kita bukan sahaja mampu mengubah kehidupan kita sendiri malah kehidupan orang lain juga.
“Saya yakin anak-anak Sarawak semuanya memiliki kemampuan yang mampu mengubah pandangan orang luar dengan membuktikan kita juga mampu bersaing menjadi yang terbaik diantara yang terbaik agar dapat membina masa depan yang lebih bermakna,” tegasnya.