SADONG JAYA, 21 OKTOBER 2021 (SNN) : Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi pada pagi Rabu semalam berkesempatan turun padang bagi melihat sendiri perkembangan projek baikpulih dan naik taraf jalan pesisir di sepanjang laluan Sadong Jaya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, projek di bawah Pakej PA-2 berkenaan yang dianggarkan bernilai RM14.3 juta dengan menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri itu dilaksanakan oleh kontraktor Presafe Engineering Sdn Bhd dan dijangka siap dalam tempoh satu tahun bermula dari tarikh penyerahan projek.
Menerusi perkongsian beliau di laman Facebook miliknya, Datuk Julaihi mengingatkan agar pihak kontraktor melaksanakan kerja-kerja dengan teliti selain mengikut jadual yang telah ditetapkan. Keutamaan mesti difokus kepada bahagian jalan raya yang rosak teruk selain membaik pulih dan menaik taraf jalan di sepanjang laluan berkenaan. Selain itu, pihak kontraktor juga perlu berada di kawasan tapak kerja bagi memastikan kerja-kerja yang ditetapkan berjalan dengan lancar.
Turut hadir sama ADUN Sadong Jaya; Aidel Lariwoo, Jurutera Kennedy dari Unit Jalan Pesisir & Jalan Utama Kedua JKR, Ir Indra Sakti Harun Jurutera Bhg Samarahan, Kontraktor Presafe Engineering Sdn Bhd, Consultant Aggun Tegar Sdn Bhd dan OPUS Consultant serta pemimpin tempatan.