LAWAS, 08 OKTOBER 2021 (SNN) : Keperluan dan kualiti perkhidmatan di Lapangan Terbang Lawas wajar diberi perhatian dengan meneliti pelbagai aspek bagi memudahlan kerja menaik taraf lapangan terbang itu kepada yang lebih efisen.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, perbincangan dan sesi bertukar pendapat beliau bersama Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang juga Timbalan Pengerusi PBB cawangan DUN Bukit Sari telah bersetuju untuk mempertimbangkan kerja-kerja naik taraf lapangan terbang berkenaan.
“Hal ini amat penting kerana dalam usaha memastikan fungsi serta keselesaan penumpang di Lapangan Terbang Lawas terjamin kemudahan sedia ada seperti struktur bangunan dan ruang perlu diperbaiki disamping aspek keselamatan pengguna turut terjaga.
“Saya turut memberi jaminan akan berhubung dengan pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk meningkatkan keupayaan ramalan kaji cuaca di lapangan terbang berkenaan,” katanya semasa melakukan lawatan kerja di Lawas baru-baru ini.
Ujar beliau, keperluan untuk mendapatkan input berkenaan keperluan di Lapangan Terbang Lawas akan menjadi asas kepada beliau bagi memastikan kekurangan dan keperluan di lapangan terbang berkenaan dapat diperbaiki sementara menunggu pembinaan Lapangan Terbang Lawas baharu pada masa akan datang.