PUSA, 07 OKTOBER 2021 (SNN) : Projek naiktaraf Jalan Pesisir Triso-Maludam-Beladin-Pusa sepanjang 35.24 Kilometer dengan kos sebanyak RM30 juta akan menjadi jalan pesisir utama bagi pengguna kenderaan ke Bandaraya Kuching atau Sibu dan Miri setelah siap kelak.
Menteri Muda Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, projek di bawah Pakej (PA) 7 yang menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri itu dipecahkan kepada empat fasa. Fasa pertama merangkumi kerja-kerja pembinaan yang melibatkan laluan sepanjang 26.3 kilometer dan telahpun dimulakan.
“Tujuan projek ini dilaksanakan kerana ia menjadi jalan utama jalan pesisir untuk ke pangkalan feri Triso-Sebuyau dan pangkalan feri di Beladin-Pusa disamping turut menerima aduan daripada orang ramai mengenai keadaan jalan ini yang rosak teruk di media sosial, JKR, YB Tempatan, Pejabat Residen dan sebagainya.
“Oleh itu, kita tidak akan membiarkan jalan ini begitu sahaja kerana Kerajaan Sarawak sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak Pembinaan Projek Jalan Pesisir PA7 Fasa 1,2, dan 3 Triso-Maludam-Beladin-Pusa pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menambah, projek pembinaan jalan itu perku dipercepatkan kerana jalan tersebut menjadi pilihan utama selain jalan pintas yang menghubungkan Zon Selatan dan Zon Utara.
“Tidak hanya itu, apabila siapnya pembinaan Jambatan Batang Saribas dan Jambatan Batang Lupar yang kini rancak dilaksanakan kelak akan memendekkan lagi masa perjalanan kerana pengguna jalan raya tidak lagi perlu menunggu feri untuk menyeberangi sungai,” tegasnya.
Jelasnya, beliau berharap agar projek itu nanti akan memberi keselesaan kepada semua pengguna bukan sahaja kepada penduduk di Maludam, Beladin dan Pusa.
Turut hadir sama mengiringi beliau adalah ADUN Beting Maro, Razaili Gapor.