More
    Home Lain-lain Masjid terapung Kampung Punang bakal jadi mercu tanda agama Islam di daerah...

    Masjid terapung Kampung Punang bakal jadi mercu tanda agama Islam di daerah Lawas

    LAWAS, 19 SEPTEMBER 2021 (SNN) : Pembinaan Masjid Kampung Punang yang berkonsepkan masjid terapung di tebingan sungai yang mengalami sedikit kelewatan disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19 akan menjadi mercu tanda baharu agama Islam bagi daerah Lawas apabila siap dibina kelak.

    Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, beliau telah meminta kontraktor menyiapkan masjid ini pada tarikh baharu iaitu November 2022.

    “Kita telah pun meminta kontraktor supaya dapat menyiapkan projek ini seperti yang ditetapkan pada November 2022. Saya juga meminta supaya kontraktor menambah lagi kawasan untuk kegunaan tempat letak kereta.

    “Siapnya masjid ini akan menjadi mercu tanda bukan sahaja di Punang ini tetapi juga untuk kita di Lawas ini,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Masjid Kampung Punang, Punang Nature Walk dan Projek Anjung Usahawan Kampung Punang Lawas pada Jumaat.

    Masjid Kampung Punang ini berkonsepkan masjid terapung yang sesuai dengan keadaan sekeliling yang berdekatan dengan laut.

    Tambah beliau lagi, turut dilaksanakan di Kampung Punang ini ialah tempat riadah di pantai Punang seperti Punang Nature Walk ditambah dengan Masjid Kampung Punang.

    “Ianya adalah merupakan satu tempat untuk riadah untuk kita joging, jalan-jalan dan untuk mereka nak berkelah yang sesuai dengan keadaan ada bukit, laut dan pantai yang indah,” tambahnya.

    Selain itu, Projek Pembinaan Punang Waterfront fasa pertama telah pun selesai dan memasuki fasa kedua yang akan dilaksanakan bersama dengan Masjid Kampung Punang ini. Begitu juga pembinaan Anjung Usahawan yang berdekatan dengan Kampung Punang bagi membolehkan masyarakat meningkatkan perusahaan dan ekonomi termasuk pemprosesan ikan tahai.

    Terdahulu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari telah menziarahi keluarga Jali Sablee dan Lizam Jiman di Kampung Sualai Jalan Punang bagi melihat sendiri keadaan rumah mereka yang musnah telah dihempap pokok. Lawatan berkenaan turut membincangkan jenis bantuan yang akan diberikan dalam usaha meringankan beban mereka.

    Pada 1 September lepas, jam 7.45 malam pokok tumbang dan menghempap rumah mereka, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Beliau seterusnya menyerahkan Geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Kawasan Punang di Balai Serbaguna Kampung Punang.

    Antara Projek RTP yang akan dilaksanakan ialah Projek RTP Tahun 2022 Membina Sambungan Benteng Tanah Perkuburan Kampung Punang, Lawas bernilai RM50,000, Projek RTP Tahun 2022 Membina Tapak Letak Perahu Skim Perumahan Punang Jaya, Lawas RTP 2022 bernilai RM 50,000 dan Projek RTP Tahun 2022 Bina Baru Dewan Masyarakat Kampung Sungai Bangat, Jalan Punang, Lawas bernilai RM300,000.

    Begitu juga penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar (RTP) bagi Aktiviti Masjid Darul Iman Kampung Punang, Aktiviti Kebersihan dan Keceriaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Punang Jaya, Lawas dan Aktiviti Kompang dan Zikir JKKK Kampung Serdang, Lawas.

    Turut diserahkan peralatan bagi Program Agriculture Facilitation Fund (AFF) kepada Fatimah Pandin dari Kampung Batong, Rohanie Tuah Kampung Belangsat, Azmah@Armah Kadir Kampung Sungai Kudong dan Nimah Pini dari Kampung Bukit Naga.

    Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.-SUMBER UKAS.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Isu hakisan tanah yang serius di Kpg Melango jejas keselamatan penghuni...

    0
    KUCHING, 16 NOVEMBER 2024: Kerajaan digesa mempertimbang dan mengambil berat isu hakisan tanah yang teruk di Kampung Melango, Saratok yang meliabtkan lebih 47 rumah...