KUALA LUMPUR, 24 OGOS 2021 (SNN) : Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat selaras dengan pelantikan Perdana Menteri baharu bagi memberi ruang dalam memperbetulkan semula Dewan Rakyat.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, keputusan mengosongkan jawatan itu bagi membolehkan pihak kerajaan dan pembangkang mendapatkan ruang yang lebih banyak dalam mensyusun semula fungsi Dewan Rakyat sebagai forum persaingan profesional dan kolaborasi mengenai dasar dan pentadbiran negara.
“Saya amat berbesar hati dan menganggap ia merupakan satu penghormatan yang besar kerana telah diberi peluang serta kepercayaa menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua Speaker selama 13 bulan. Sebarang pembaharuan yang akan dilakukan oleh kerajaan dan pembangkang dalam usaha mencari penyelesaian secara kolektif saya akan dukung sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Tambahnya, ada tiga sebab mendorong kepada perletakan jawatannya sebagai Timbalan Speaker yang pertama adalah kapasiti moral peribadi sebagai Timbalan Speaker. Terdapat konflik peranan dan tanggungjawab dalam menjadi Ahli Kerja Majlis Tertinggi UMNO dan sebagai Ahli Parlimen dalam gabungan kerajaan yang memerintah. Di masa akan datang Speaker dan Timbalan Speaker perlu digantung daripada sebarang jawatan parti bagi memastikan beliau tidak berpihak dan seterusnya dapat berfungsi dengan berkesan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Sebab kedua ialah melibatkan tanggungjawab rasmi sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Perkembangan dalam masa 17 bulan yang lalu telah mendorong saya untuk memikirkan kecacatan institusi Parlimen dan batasan beliau untuk melaksanakan tugas dengan baik tanpa menjejaskan sikap profesional dan integriti. Selain itu, sistem penilaian peribadi yang berkait dengan undang-undang, demokrasi berparlimen, semak imbang sejak Pengisytiharan Darurat Januari 2021 lalu juga konsisten.
Alasan yang ketiganya adalah kurangnya rundingan dan keputusan bersama yang memperngaruhi prestasi sebagai Timbalan Yang Dipertua Spekaer Dewan Rakyat. Jelas Azalina seorang Timbalan Speaker tidak boleh membuat keputusannya sendiri di Dewan Rakyat sebaliknya membuat keputusan secara bersama, tidak memihak, adil dan saling menghormati adalah elemen utama yang ingin dilihat di Parlimen Malaysia.