KUCHING, 20 OGOS 2021 (SNN) : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Negeri Sarawak menyokong sesi persekolahan secara bersemuka ditangguh sehingga Oktober berikutan keadaan semasa di Sarawak terutama di Zon Selatan yang masih menunjukkan kes positif melebihi 600 sehari sejak seminggu yang lepas.
Pengerusinya, Omar Bahrein Unin berkata hal ini amat membimbangkan kerana penularan Covid-19 di zon ini telah merebak di hampir semua daerah dan kampung-kampung yang jauh dan berselerak lebih-lebih lagi penularan varian Delta yang diketahui boleh merebak dengan cepat juga amat ditakuti kerana kebanyakan kes ini merebak di Zon selatan Sarawak.
“Keadaan sebegini adalah merisaukan bukan sahaja kepada murid-murid jika sekolah dibuka pada September tetapi juga kepada penduduk di zon ini secara umumnya.
“Bagi zon tengah dan utara walaupun keadaan penularan agak terkawal namun CNS berpendapat adalah baik juga jika pembukaan sekolah secara bersemuka turut ditangguh untuk mengelak keadaan yang sukar diduga terutama penularan boleh berlaku dengan cepat di kalangan jumlah murid-murid sekolah yang banyak dalam satu-satu masa.
“Namun jika keadaan di zon lain didapati selamat, CNS menyerahkan kepada pihak kerajaan untuk samada dapat membuka sekolah lebih awal,” jelas Omar dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam masa yang sama jelas Omar, walaupun penangguhan pembukaan sekolah telah dimaklum, CNS turut bersimpati dengan pembelajaran murid-murid yang terpaksa belajar secara PdPR di mana kita memahami pelbagai kekangan, kesukaran dan kekurangan. Dalam keadaan ini, kita berharap ibu bapa dan guru-guru terus memainkan peranan yang bersesuaian demi tanggungjawab memberi pendidikan kepada anak-anak.
Tegasnya, kita juga berharap ibu bapa di kalangan penjawat awam yang bekerja mengikut waktu kerja biasa dan lebih masa dalam membantu membendung penularan Covid-19 dapat mengurus masa dengan baik dan dapat juga memberi perhatian mengurus pembelajaran anak-anak.-SUMBER UKAS.