SEBUYAU, 28 JULAI 2021 (SNN) : Kemudahan liputan telekomunikasi atau ‘line telefon’ serta jaringan akses internet adalah penting khususnya bagi kawasan luar bandar seperti di kampung-kampung dan rumah panjang, kemudahan awam seperti dewan masyarakat, sekolah, surau, masjid serta rumah ibadat yang lain.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Sarawak Multimedia Authority (SMA) yang merupakan agensi kerajaan negeri Sarawak bertanggungjawab mengurus tadbir serta menyediakan jaringan komunikasi, jalur lebar atau internet terutama bagi kawasan luar bandar yang kebanyakannya sukar untuk mendapatkan akses jaringan tersebut.
“Melihat kepada keperluan kemudahan ini khususnya di kawasan ADUN Sebuyau, saya telah meminta pihak SDEC dan SMA untuk berbincang bersama-sama tentang kepentingan kemudahan jaringan telekomunikasi ini terhadap aktiviti seharian penduduk terutama dalam mendapatkan informasi serta ilmu seiring dengan kemajuan teknologi yang memerlukan jaringan internet.
“Selesai dari menghadiri sesi taklimat bersama-sama wakil agensi dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sebuyau, saya sendiri mengiring bersama untuk meninjau lokasi yang telah dikenalpasti untuk mendirikan menara telekomunikasi baharu sera pemasangan jaringan jalur lebar di sekitar Sebuyau,” katanya semasa hadir sesi taklimat bersama agensi SDEC dan SMA semalam.
Tambah beliau, antara kawasan kampung yang telah dikenalpasti adalah Pekan Sebuyau, Kampung Seberang Sebuyau, Kampung Tebelu, Pekan Sebangan, Kampung Sungai Ladong, Kampung Segali, Kampung Mambai, Kampung Kesindu, Kampung Ensika, Kampung Entangor, Kampung Tungkah Melayu, Kampung Tungkah Dayak dan Kampung Sampat.
Disamping itu, semasa lawatan ke tapak dan kawasan sekitar kampung-kampung berkaitan pihaknya turut berbincang mengenai pemasangan “Wifi Peneretion and Coverage” apabila menara-menara itu siap dipasang kelak.
Turut hadir sama dalam sesi taklimat adalah Tuan Haji Berahim Lumpu; Residen Bahagian Samarahan, Encik Sudarnoto Osman; Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Encik Awang Johari Awang Mustapha; Pegawai Tadbir Khas SMA; Encik Samat Gany; Setiausaha Politik kepada YAB Ketua Menteri, ketua-ketua kaum dan masyarakat, wakil Majlis Guru Besar Sebuyau dan Sebangan dan pegawai-pegawai SDEC serta SMA.