LIMBANG, 16 JULAI 2021 (SNN) : Hujan lebat berterusan ditambah dengan fenomena air pasang telah mengakibatkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di Daerah Limbang.
Pihak Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pada Khamis telah memantau keadaan banjir di beberapa kawasan dalam Daerah Limbang bagi tujuan langkah berjaga-jaga sekiranya paras air terus meningkat.
Sejak semalam, hujan lebat disertai dengan ribut petir selama lebih lima jam ditambah dengan fenomena air pasang telah menyebabkan air naik dengan cepat di beberapa seperti Medamit, Sekolah Kebangsaan (SK) Ukong dan SK Kuala Penganan.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan dan ribut petir akan berlaku pada sebelah petang di beberapa kawasan di Limbang serta hujan lebat yang berterusan di sebelah malam hingga awal pagi.
Bertindak atas laporan itu, wakil rakyat dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) turut bersiap siaga bagi melancarkan misi memindahkan penduduk sekiranya hujan masih berterusan dan paras air semakin naik.