SEBUYAU, 27 JUN 2021 (SNN) : Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkesempatan meninjau sendiri persiapan bagi program ‘Outreach’ Imunisasi Covid-19 untuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sebangan di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Ladong yang bermula 28 Jun 2021 ini.
Program yang akan dilaksanakan secara ‘mobile’ dengan menyasarkan penerima vaksin dari Kampung Sungai Ladong, Seruyuk, Pantu Plaie, Segali dan Sungai Nibong diusahakan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Klinik Kesihatan Sebangan dengan Pejabat Daerah Kecil Sebuyau, Pusat Khidmat AADUN N.27 Sebuyau dan pemimpin masyarakat disitu.
Setakat ini, seramai 5,220 individu di seluruh kawasan Sebuyau telah berjaya menerima suntikan vaksin dos pertama merangkumi 3,000 orang dari PPV Sebuyau pada 14-18 Jun lalu dan 2,220 individu dari PPV Sebangan pada 21-26 Jun 2021.
Datuk Julaihi berharap agar program imunisasi bagi kawasan DUN Sebuyau dapat dilaksanakan dengan lancar serta matlamat agar semua penduduk di kawasan DUN Sebuyau menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19 berjaya.