More
    Home Blog Blog Dr. Aila...Harga Dalam Kehidupan

    Blog Dr. Aila…Harga Dalam Kehidupan

    Banyak perkara dalam hidup ini sebenarnya ada harganya.  Namun, kebanyakan nilainya kita tidak nampak secara jelas. Baik perkara produktif mahupun inertia, perlu dibayar dengan ruang dan masa keberadaannya.

    Amat menarik apabila kita menyedari bahawa banyak perkara yang tidak nampak, sebenarnya juga perlu dibayar pada nilainya.  Misalnya, pemikiran, kelapangan, ketelitian, dan sebagainya, yang punya faedah tidak nyata juga nilai kos lepasnya yang tersendiri.  Malah, nilainya berbeza-beza pula bagi setiap individu yang menjalaninya.  Terpulang pada kita untuk menentukan dan meletakkan nilai pada tempatnya.

    Larut dalam masa

    Begitulah juga dengan kebosanan, ketidaksabaran, mahupun ketidakendahan.  Semuanya ada harganya.  Kadang-kala tanpa sedar, kita larut dalam rasa dan berlama-lamaan beremosi sehingga habis sumber yang ada.  Mungkin sumber kewangan, sumber masa dan tenaga terarah pada suatu perkara semata-mata secara berlebihan. 

    Lantaran itulah kita tidak boleh berada di suatu fasa bagi tempoh yang terlalu lama.  Jika terlalu lama bergembira, kita mungkin akan terlepas pelbagai persediaan lain dalam hidup yang perlu dilakukan. Terlalu ralit melayan suatu hobi (sekalipun mungkin ada faedahnya), tetapi berlebihan meletakkan usaha dan masa akan menyebabkan kita ketinggalan jauh pada perkara yang lain pula.

    Begitulah juga jika terlalu lama mengulit rasa bosan.  Kecenderungan untuk lari dari kebosanan adalah eskapisme atau escapism yang tanpa disedari membawa ke satu lorong leka yang memerangkap kita.  Berada di dalamnya seolah-olah kita tidak lagi terbelenggu dengan kebosanan, tetapi kita terperangkap berlegar-legar dalam kelekaan tanpa tahu jalan keluar. Kesannya, kita tetap akan ketinggalan jauh dari dunia saing yang sebenar.  

    Permainan dalam talian

    Bahayanya dalam senario masyarakat kita hari ini, rata-rata mengetahui dirinya berasa bosan di rumah.  Lantas, kita cuba mengatasi kebosanan itu dengan menumpukan fokus dan perhatian pada platform interaktif yang bersifat maya.  

    Pelbagai permainan dalam talian, e-katalog pembelian, aplikasi media sosial, paparan mudah alih bagi siaran TV dan filem, dan sebagainya memenuhi keinginan untuk lari dari kebosanan.  Mungkin kita akan lari dari kebosanan pada tempoh yang akhirnya menjangkau beberapa minggu, atau bulan, malah mungkin bertahun-tahun jadinya.  Menjadi begitu komited pula pada platform mengatasi kebosanan itu, akhirnya kita menjadi seolah-olah konsisten meletakkan keberadaan diri sekalipun tidak bosan.  Itulah bahananya kebosanan. Dan bahayanya adalah tiada siapa yang mengetahui bila masanya anda mula terasa bosan.  Malah anda sendiri mungkin tidak menyedarinya.  Jadi, agak sukar untuk orang lain membantu di peringkat awal.  

    Kerugian atau keuntungan

    Berdasarkan pengalamanlah, orang tua-tua selalu mengaitkan sesuatu tindak-tanduk dengan kerugian atau keuntungan.  Malah, orang yang beringat akan sedar bahawa kehidupan kita ini berada di atas laluan masa yang singkat.

    Justeru, adalah penting untuk kita memahami keadaan diri dan memantau kendiri dengan sifat waspada.  Jika tidak, anda sebenarnya membayar harganya atas sebuah kebosanan pada banyak cara. Dan ada kalanya ianya dibayar dengan kos yang mahal dan tidak praktikal. Malah, tidak hairan bagi mutakhir ini bahawa nilai yang dibayar bagi kebosanan adalah lebih mahal daripada yang kita belanjakan untuk memberi kelapangan, ketenangan, dan merawat pemikiran diri sendiri.

    Kemahiran kendiri dalam memantau keadaan diri ketika mengatasi kebosanan dianggap satu kemestian, khususnya bagi generasi hari ini.  Bimbang pula, kebosanan diri pun boleh menjadi musuh senyap yang merosakkan fikiran dan masa depan.  

    Melihat pula pada skop pandangan yang lebih luas, kemahiran pemantauan kendiri sangat perlu lebih-lebih lagi keadaan genting di mana semua orang mempunyai isu permasalahan sendiri yang ingin diselesaikan. Dalam kewaspadaan memahami situasi semasa di persekitaran, kita harus memantau keadaan diri kita tanpa mengharapkan orang lain perlu memberi peringatan berulang.

    Kemahiran kawalan diri

    Dalam konteks pengurusan, kemahiran kawalan diri ini adalah amat penting dalam diri setiap pekerja. Bayangkan jika tiada kawalan kendiri, setiap gerak-geri terpaksa dipantau dan dipimpin. Akan berganda-gandalah masa dan kerja yang perlu dilakukan oleh pihak penyelia di sebuah organisasi.  

    Oleh itu, sebagai pekerja yang boleh diharap dan matang dalam pekerjaan seharusnya mampu menzahirkan kawalan kendiri dalam produktiviti kerja yang dihasilkan.  Dalam kata lain, di pihak diri kita sendiri haruslah tahu wujudnya tindakan kawalan, rangka masa, dan julat kawalan yang boleh diterima. Itulah simbolik keboleharapan diri kita yang akhirnya akan memberi nilai pada hasil usaha dan kebolehan kerja secara individu.

    Dr. Aila Abdul Latif PhD (Management) RMIT University, Melbourne Australia.

    Sanifa
    Chief Editor

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...