KUCHING, 28 MEI 2021 (SNN) : Perkhidmatan Tele-Kaunseling yang diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak pandemik Covid-19 melanda negeri ini dahulu bertujuan untuk memberikan khidmat bantu orang ramai yang terkesan dari segi emosi dan psikologi sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkhidmatan ini perlu dilaksanakan lagi dan diteruskan untuk membantu golongan memerlukan berikutan situasi pandemik Covid-19 di negeri ini semakin membimbangkan dan ia secara tidak langsung akan memberi impak kepada mereka yang benar-benar terkesan.
“Memandangkan peningkatan kes positif di negeri ini semakin serius, jadi kita merasakan ada keperluan untuk kita menawarkan khidmat sokongan bagi mereka yang memerlukan terutama golongan yang terkesan dari segi mental, emosi, fizikal dan kerohanian.
“Perkhidmatan tele-kaunseling ini adalah kolaborasi bersama Cawangan Psikologi dan Kaunseling JKMS dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk membantu individu di bawah pengawasan (PUS) yang terkesan dengan Covid-19,” katanya dalam sidang media pengaktifan semula Tele-Kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di sini, hari ini.
Ujar beliau, perkhidmatan tele-kaunseling itu adalah disediakan untuk semua lapisan masyarakat di seluruh negeri Sarawak yang berada di bandar dan juga luar bandar.
Turut hadir sama, Menteri Muda KWKPK, Datuk Francis Harden Hollis dan Pengarah JKM Sarawak, Noriah Ahmad.