KUCHING, 31 JANUARI 2021 (SNN) : Fenomena hujan berterusan sejak Jumaat lalu mengakibatkan lebih 133 mangsa terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ekoran air mulai melimpah masuk ke kawasan kediaman ditambah lagi dengan fenomena air pasang besar.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan media memberitahu, sebanyak tiga PPS telah dibuka masing2 di Serian dan Simunjan yang menempatkan lebih 133 mangsa banjir yang terjejas setakat jam 8 pagi Ahad.
“Dua Pusat Pemindahan Sementara di Serian melibatkan Dewan Kampung Lintang Baru dan Dewan Betong Kanowit masing-masing menempatkan seramai 84 mangsa daripada 20 buah keluarga dan 22 mangsa daripada enam keluarga dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.
“Manakala di Daerah Simunjan, seramai 27 mangsa terdiri daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Lubok Buntin,” kata kenyataan itu.
Jelasnya, keadaan banjir di beberapa tempat akan dijangka bertambah buruk sekiranya hujan masih turun dengan lebat serentak dengan fenomena ‘King Tide’ dan masyarakat diminta agar sentiasa berwaspada daengan keadaan paras air di kawasan masing-masing.