KOTA SAMARAHAN, 11 Ogos 2019 (SNN)- Golongan pelajar disaran menimba ilmu selagi ada kesempatan untuk berbuat demikian demi untuk masa depan mereka dan keluarga mereka.
Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak, Datuk Haji Julaihi Narawi berkata, pada usia yang masih mudalah ketika minda masih mampu menyerap segala pembelajaran, mereka harus mengambil kesempatan tersebut.
Julaihi berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penutupan Kem Bestari Kecemerlangan Akademik 2019 UPSR Bagi Sembilan Buah Sekolah Rendah Dari Zon Sebuyau Anjuran Majlis Guru Besar Zon Sebuyau Dengan Kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan (IPGKTA) semalam.
“Diharap apa yang diajar dan dipelajari dalam kem ini dapat diaplikasi dalam pembelajaran dan pengajaran seharian sehingga peperiksaan UPSR nanti,” katanya lagi.
Julaihi, yang juga merupakan ADUN Sebuyau menambah, kem tersebut juga mampu meningkat keupayaan dan kemahiran serta kompetensi murid dari luar bandar seperti Sebuyau menjawab soalan dengan sasaran mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti.
Difahamkan, Kem Bestari berkenaan yang berlangsung selama 5 hari 6 malam telah melibatkan seramai 147 orang murid dan 27 orang guru bagi matapelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains dan Matematik dari 9 buah sekolah dari Zon Sebuyau.
“Kerjasama antara Majlis Guru Besar Zon Sebuyau dan IPGKTAR serta PIBG selama ini telah dapat menghasil keputusan yang positif ,” katanya lagi.
Dalam majlis yang sama, Julaihi juga telah meluluskan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM 37,000 kepada Majlis Guru Besar Zon Sebuyau.
Antara yang hadir pada majlis tersebut adalah Mohd Rizuan Sarbini selaku Penyelaras Program, Ahmad Nasri mewakili Pengarah IPGKTAR Kota Samarahan, Hassan Jamil Pengerusi Majlis Guru Besar Zon Sebuyau dan dif-dif jemputan yang lain.


