More
    Home Dewan Bandaraya Kuching Utara disarankan iktiraf Pengiran Muhammad Salleh sebagai pengasas Kuching

    Dewan Bandaraya Kuching Utara disarankan iktiraf Pengiran Muhammad Salleh sebagai pengasas Kuching

    KUCHING, 28 MAC 2019 (SNN) – Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) disarankan agar mengiktiraf Pengiran Muhamad Salleh sebagai pengasas Bandaraya Kuching. Cadangan ini adalah hasil dari ceramah oleh Datu Dr. Sanib bin Haji Said bertajuk “Negeri Melayu Sarawak Yang Hilang” di Square Tower, sebuah bangunan bersejarah, di Tebingan Sungai Sarawak petang tadi.

    Ceramah ini merupakan salah satu topik dalam program Speakers’ Corner sempena Pesta Old Kuching Smart Heritage City di Tebingan Sungai Sarawak, Kuching yang berlangsung dari 25 hingga 31 Mac 2019. Turut hadir di ceramah ini adalah En. Zamahari Saidi, Ketua Penolong Pengarah, Yayasan Sarawak selaku Pengerusi Program Speakers’ Corner; guru-guru sejarah, pelajar dan orang ramai.

    Sanib berkata bahawa beliau telah menjalankan penyelidikan tentang sejarah masyarakat Melayu Sarawak selama 38 tahun semenjak tahun 1975 ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya sehingga memperolehi Sarjana Muda, Sarjana dan akhir sekali Doktor Falsafah pada tahun 2013. Berlandaskan kaedah dan teori pengajian sejarah beliau telah berjaya mempertahankan penemuan negeri-negeri Melayu Sarawak yang hilang. Penemuan ini telah dibentangkan sebagai tesis dan kertas kerja di banyak persidangan tempatan dan antarabangsa termasuk di Oxford University.

    Negeri-negeri yang hilang tersebut adalah Negeri Santubong-Sarawak, Negeri Samarahan, Negeri Kalaka, Negeri Saribas, Negeri Malanau dan Negeri Banting. Yang terawal adalah Negeri Santubong yang didirikan oleh Datuk Merpati pada tahun 600M.

    Sempena dengan Pesta Old Kuching Smart Heritage City yang pertama ini, Sanib Said telah mendedahkan juga bahawa pengasas Bandaraya Kuching adalah Pengiran Indera Mahkota Muhammad Salleh pada sekitar tahun 1820an. Muhammad Salleh adalah tokoh yang sering disebut dalam jurnal James Brooke dan buku sejarah Sarawak sebagai Pengiran Makota. Beliau adalah Wazir atau Gabenor untuk jajahan Sarawak oleh Sultan Brunei pada awal abad ke-19. Selepas perlantikan tersebut Muhammad Salleh telah mendirikan pusat pentadbiran yang terdapat sebuah sungai bernama Sungai Kuching di kaki bukit bernama Bukit Mata Kuching.

    Sebahagian dari peserta ceramah (Gambar: Azmil, AKYBMS)

    Apa bila mengetahui peranan Muhammad Salleh tersebut para peserta ceramah telah mencadangkan agar DBKU mengiktiraf beliau sebagai pengasas Bandaraya Kuching. Dengan yang demikian beliau mestilah dicatat dalam semua penerbitan DBKU dan juga penerbitan pelancongan seperti brosur. Sesunggguhnya fakta sejarah menunjukkan apa bila James Brooke sampai di Kuching yang menyambut beliau adalah Pengiran Muda Hashim dan juga Muhammad Salleh.

    Sanifa
    Chief Editor

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Muhammad Nazmi, Guru dari Sarawak Tersenarai 10 Finalis Anugerah Guru Global...

    0
    KUCHING, 31 JANUARI 2025 (SNN): Terkenal dengan pendekatan pengajaran dalam bilik darjah yang inovatif dan pelbagai inisiatif pacu pembangunan komuniti, seorang pendidik dari Sarawak,...