• Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas bagi Sarawak Public Service Quality Awards
  • Pengiktirafan itu hadir bersama piala dan wang tunai RM20,000 
  • Memperkukuh komunikasi strategik & korporat, pengurusan isu awam dan komunikasi rentas sempadan jadi hala tuju terkini kementerian

Kuching, 21 Nov 2025 – Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas bagi Sarawak Public Service Quality Awards sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak peringkat negeri, diadakan pada Khamis lalu.

Pengiktirafan itu hadir bersama piala dan wang tunai RM20,000. Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohd Abu Bakar Marzuki, kepada Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafri Lias.

Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak telah diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dengan kehadiran hampir 5,000 penjawat awam negeri dan Persekutuan.

Sumber: FB Rasmi YB Dato Sri Hj Julaihi Hj Narawi, Menteri Utiliti & Telekomunikasi Sarawak

Dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi kementerian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato’ Sri Julaihi Narawi, melahirkan rasa bangga terhadap mutu kerja tinggi dan semangat kerjasama warga MUT. Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafri Lias turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan kementerian, para pegawai serta agensi di bawahnya, sambil menegaskan bahawa pengiktirafan ini mencerminkan profesionalisme dan komitmen berterusan ke arah kecemerlangan perkhidmatan.

Sebelumnya, dalam majlis yang berlainan iaitu Majlis Penghargaan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada 27 Mei lalu, Dato’ Sri Julaihi Narawi meletakkan tiga keutamaan baharu MUT.

Majlis Penghargaan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19. Sumber: UKAS Sarawak

Pertama, memperkukuh komunikasi strategik & korporat bagi memastikan mesej kementerian difahami kumpulan sasaran iaitu orang awam serta pihak luar yang berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan.

Kedua, pengurusan persepsi awam berhubung isu pengagregat gas serta pematuhan Distribution of Gas Ordinance (DGO) 2016. Ini susulan kejadian surat peringatan pematuhan yang tersebar ke media dan mencetuskan tanggapan negatif. Keperluan tindak balas yang lebih pantas dan jelas ditekankan agar naratif yang tepat dapat disampaikan.

Ketiga, penambahbaikan pendekatan komunikasi rentas sempadan, termasuk penjelasan yang mudah difahami oleh pihak di luar Sarawak yang berinteraksi dengan kementerian. Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafri Lias, digesa menyelaraskan libat urus dengan ketua-ketua jabatan dan agensi untuk merangka strategi komunikasi yang lebih komprehensif.

Leave A Reply

Please enter your comment!
Please enter your name here