Mantan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dilaporkan tidak akan hadir dalam Forum Tenaga Lestari dan Boleh Diperbaharui (SAREF). Ini dilaporkan sendiri dalam kenyataan media Sarawak Energy Berhad pada hari ini. Dalam kenyatan yang sama, SEB berkata SAREF 4.0 ialah sebuah platform dialog mengenai tenaga mampan, ketahanan iklim dan pertumbuhan inklusif.
Forum kali ini akan menampilkan pelbagai pakar antarabangsa dan serantau, termasuk pemimpin dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, dasar iklim dan pembangunan mampan antaranya Dr. Ashok Khosla, Presiden Perikatan Kelestarian Hidrokuasa (HSA), Erik Solheim, Ahli Lembaga Persatuan Hidrokuasa Antarabangsa, Presiden Inisiatif Pembangunan Hijau Belt and Road, serta Mantan Pengarah Eksekutif UN Environment dan Mantan Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Tokoh jemputan antarabangsa lain juga ialah Justin Trudeau, Mantan Perdana Menteri Kanada yang juga merupakan seorang tokoh global advokasi tindakan iklim.
Walau bagaimanapun, SEB dalam kenyataan mengesahkan bahawa beliau tidak akan menyertai SAREF 4.0 yang akan diadakan di Borneo Convention Centre (BCCK) September akan datang.
Dalam pada masa yang sama, respons netizen pada hantaran SEB dan laporan beberapa akhbar membangkitkan tentang kegelisahan susulan pendirian Mantan Perdana Menteri Kanada yang sebelum ini lantang berpendirian menyokong Zionis.
Astro Awani – Justin Trudeau batal hasrat sertai SAREF 4.0
TVS – Justin Trudeau tidak sertai SAREF 4.0

Kebimbangan bertitik tolak daripada ucapan Mantan Perdana Menteri Kanada tersebut yang dilaporkan beberapa akhbar antarabangsa Anadolu Ajensi pada 8 Mac lalu yang pernah berkata “I Am a Zionist“. Berucap di Forum Kebangsaan Membanteras Anti-Semitisme di Ottawa, Kanada, beliau menegaskan bahawa tiada siapa di negara itu harus berasa takut untuk melabel diri mereka sedemikian.

Pun begitu, kenyataan Justin Trudeau menerima kritikan hebat dalam dan luar negara. Pelapor Khas PBB mengenai Hak Asasi Manusia, Francesca Albanese, berkata bahawa “Zionisme menjejaskan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin”.
Ujarnya lagi “Tiada ideologi yang boleh dijadikan alasan untuk merampas hak sesuatu bangsa atau menafikan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri. Kanada mempunyai obligasi undang-undang untuk menyokong, bukan menghalang, hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin. Kegagalan berbuat demikian boleh membawa implikasi undang-undang di bawah undang-undang antarabangsa. Rakyat Kanada perlu benar-benar menyedari perkara ini.” katanya di laman X.