KOTA SAMARAHAN 8 Ogos 2025 – Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (FPBK) UNIMAS bersama-sama SMK Agama Matang 2 menjayakan Program Permukiman Kecemerlangan SPM Tahun 2025. Program yang mendapat kerjasama erat daripada Pejabat DUN Pantai Damai berhasil menyantuni kesemua 110 orang pelajar persediaan SPM SMK Agama Matang 2.

Program pemukiman yang berlangsung selama tiga hari dua malam dengan bantuan daripada Kolej Cempaka dan PITAS-Pusat Islam Tun Abang Salahuddin menyasarkan bagi meningkatkan pencapaian akademik murid dalam semua mata pelajaran teras dan elektif. Antara strategi utama ditumpukan sepanjang tiga hari adalah pendekatan pengajaran berfokus, mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri pelajar dalam suasana baharu dan selesa kampus.

Beberapa penceramah pakar mata pelajaran telah didatangkan khas untuk berkongsi panduan, teknik dan modul pembelajaran terbaik dan bersistematik antaranya Ustaz Liza Narawi,  Pn. Azizah Farizah Hussain, En. Mohd Rifky Affendi, En. Latip Acai, Christina Tan. Selain itu, UNIMAS turut menawarkan pakar kaunselor dan kesihatan mental, iaitu Encik Lawrence Sengkuai bagi slot motivasi.

Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr. Hj. Ahmad Hata Rasit berkata FPBK merupakan barisan hadapan UNIMAS dalam menyantuni keperluan sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan.

Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, dalam ucapan penangguhan memuji sumbang bakti fakulti yang kini sedang dan giat memperluaskan penawaran program pendidikan khusus memenuhi kekurangan guru di Sarawak. Dalam pada itu, beliau mengulangi iltizam pengurusan UNIMAS untuk membantu mana-mana sekolah selari dengan motonya,  Community Driven University for a Sustainable World”.

Pengetua Sekolah, En Yazid Rajali melahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada UNIMAS atas kemudahan tempat tinggal, dewan syarahan dan tenaga fasilitator diberikan.

Pengetua Sekolah, En Yazid Rajali dalam ucapannya pula berkata, pihak sekolah pada tahun ini menyasarkan peningkatan gred “A” dalam semua mata pelajaran yang diambil. Falsafah nama nama “ACE-A” adalah sebuah komitmen jitu pihak sekolah untuk mencapai kecemerlangan pelajar dengan bantuan pusat-pusat kecemerlangan penting seperti UNIMAS.

Damien Scubert, Ketua Fasilitator dan pelajar Program Komunikasi Massa FPBK berkata, kehadiran pelajar daripada SMKA Matang 2 telah memberikan kenangan indah kepada dirinya. Beliau berharap agar pelajar-pelajar yang berkunjung dan belajar di UNIMAS dapat memanfaatkan sebaik-baiknya ruang diberikan untuk berjaya dalam peperiksaan percubaan akan datang dan sekali gus peperiksaan SPM kelak.

Naib Canselor UNIMAS bergambar bersama-sama pengurusan FPBK, PITAS dan SMK Agama Matang 2

Majlis ditangguhkan oleh Yang Berbahagia, Prof Dr. Hj. Ahmad Hata Rasit, Naib Canselor UNIMAS. Turut hadir ialah Dr. Dilah Tuah, Dekan Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi; En Yazid Rajali, Pengetua SMKA Matang 2; Tuan Haji Mohamad Zaky Gardafi Ibrahim, Pengarah PITAS; En Raya Kechil, Yang Dipertua PIBG SMKA Matang 2.

 

Leave A Reply

Please enter your comment!
Please enter your name here