SIMUNJAN, 28 APRIL 2025: Cadangan pembinaan sebuah dewan mini di Masjid Darul Hijrah akan dilaksanakan sejurus selepas melalui proses perancangan yang rapi, dengan mengambil kira kepentingan jemaah serta keperluan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menjelaskan bahawa sebarang pembangunan yang melibatkan institusi masjid perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab kerana ia bukan sekadar tempat ibadah, malah memainkan peranan penting dalam membentuk komuniti yang sejahtera.
Beliau mengulas cadangan yang telah dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Hijrah, Kamel Nor yang memohon penyediaan ruang tambahan untuk tujuan pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan seperti kelas agama, ceramah serta program ilmu dan kebajikan.
“Masjid adalah nadi masyarakat. Sebarang penambahan atau pembangunan di sekitarnya mesti dirancang dengan teliti agar tidak menjejaskan fungsi utamanya sebagai rumah ibadah, sebaliknya memperkukuh peranannya dalam pembangunan rohani dan sosial.
“Pembinaan dewan mini ini tidak boleh dilakukan sembarangan dan kita mahu memastikan ia sesuai dengan keperluan ruang dan kapasiti masjid,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Hijrah, yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, pada Ahad.
Tambah Awla, pihaknya akan melantik perunding profesional untuk merangka reka bentuk dewan mini tersebut sebelum membawa permohonan rasmi kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohsri Tun Datuk Abang Openg untuk pertimbangan dan kelulusan peruntukan-UKAS