More
    Home Sarawak Kuching Ilmu pendidikan merupakan 'senjata' utama dalam memperkasa daya saing agar tidak ketinggalan

    Ilmu pendidikan merupakan ‘senjata’ utama dalam memperkasa daya saing agar tidak ketinggalan

    KUCHING, 24 APRIL 2025: Masyarakat Melayu di Sarawak perlu melengkapkan diri dan anak-anak mereka dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan kaum-kaum lain dalam pembangunan negeri.

    Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendidikan merupakan ‘senjata’ utama dalam memperkasakan daya saing, khususnya dalam kalangan anak-anak Melayu agar mereka tidak tercicir atau ketinggalan dalam arus pembangunan pesat yang sedang digerakkan oleh Kerajaan Sarawak.

    “Saya mahu orang Melayu, khususnya masyarakat rumpun Melayu, melihat di mana letaknya kita di masa depan dengan peredaran zaman ketika ini kita mesti berani menukar minda dan melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran untuk bersaing.

    “Sebab itu kita dalam kerajaan menekankan pentingnya pendidikan. Kalau kita nak mencari semangat daya saing, kita mestilah melengkapkan diri kita untuk bersaing dengan orang lain,” tegas beliau semasa berucap dalam Majlis Samarindok Aidil Fitri 1446/2025m anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sebuah hotel terkemuka, pada Rabu.

    Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah menyampaikan cendera mata kepada Premier disaksikan TYT Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri serta isteri-foto UKAS

    Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur pendidikan di kawasan-kawasan majoriti penduduk Melayu dan Bumiputera, termasuk akses kepada pendidikan tinggi secara percuma di universiti tempatan.

    Jelasnya, keupayaan anak-anak Melayu untuk bersaing bukan bergantung kepada latar belakang, tetapi kepada peluang dan kesediaan mereka untuk berusaha serta memanfaatkan sistem pendidikan yang disediakan.

    “Kita buka peluang ini kepada semua anak Sarawak, selagi mereka ada kad pengenalan ‘K’. Anak-anak Melayu tidak boleh gentar. Mereka mesti yakin bahawa mereka mampu bersaing dan bekerjasama dengan kaum lain dalam keadaan yang sama dari segi kewangan dan pengetahuan,” jelasnya.

    Tegas Datuk Patinggi Abang Zohari lagi, perubahan hanya boleh dicapai apabila wujud kesedaran dan kesediaan dalam diri sesuatu kaum untuk memperbaiki diri sendiri, selaras dengan prinsip yang disebut dalam al-Quran.

    “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya. Maka saya percaya, anak Melayu boleh melakukannya,” ujarnya.

    Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut hadir memeriahkan majlis tersebut.

    Hadir sama, isteri kepada Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Kabinet Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Kabinet Timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Pengerusi AKYBMS; Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS); Datu Dr Sanib Said serta tetamu kenamaan yang lain-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    KETEQ AI peranti penukar kuasa berasaskan (AI) pertama seumpamanya di dunia...

    0
    CARDIFF, 30 APRIL 2025: Kerajaan Sarawak mencatat satu lagi pencapaian penting dalam bidang teknologi global apabila memperkenalkan KETEQ AI iaitu peranti penukar kuasa berasaskan...