SEBUYAU, 21 APRIL 2025: Pelantikan barisan kaunselor baharu Majlis Daerah Sebuyau yang merupakan satu langkah strategik dan penting dalam memperkukuh tadbir urus tempatan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelantikan itu membawa dimensi baharu kepada pentadbiran tempatan, khususnya dengan penyertaan lebih ramai wakil muda yang dilihat berpotensi tinggi untuk menyumbang idea dan tenaga dalam membangunkan daerah.
“Pelantikan kaunselor baharu ini juga bukan sekadar simbolik, tetapi satu isyarat jelas bahawa kita serius mahu melihat tadbir urus yang lebih inklusif, dinamik dan berpaksikan rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau, pada Ahad.
ADUN Sebuyau itu juga turut menyifatkan penyertaan wakil-wakil muda dalam Majlis Daerah Sebuyau sebagai langkah memperkasa belia agar lebih aktif dalam pengurusan dan pembangunan komuniti setempat.
Langkah tersebut adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membentuk barisan pemimpin akar umbi yang berwibawa, berintegriti dan dekat dengan denyut nadi rakyat.
Jelas Julaihi lagi, pelantikan kaunselor ini dijangka dapat memperkukuh hubungan antara masyarakat dengan agensi kerajaan serta membantu mempercepat pelaksanaan inisiatif pembangunan dan sosial di peringkat daerah.
Majlis ramah tamah pada kali ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,500 tetamu termasuk ketua-ketua jabatan agensi negeri dan persekutuan, pemimpin masyarakat serta penduduk setempat.
Turut hadir sama ialah Wakil Residen Bahagian Samarahan; Anuar Da’an, Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bujang dan Setiausaha Majlis Daerah Sebuyau; Oldrige Ripat Eric-UKAS