KUCHING, 19 APRIL 2025: Amalan dasar Sarawak yang berteraskan tenaga hijau yang boleh diperbaharui sebagai sumber ekonomi baharu mendapat pengiktirafan daripada Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mendedahkan, pengiktirafan ini sekaligus meletakkan wilayah ini sebagai salah satu kuasa ekonomi yang mempunyai potensi yang besar di Asia Pasifik.
“WEF sendiri memberitahu kepada saya bahawa mereka dapat melihat kawasan yang mempunyai potensi yang besar dalam pertumbuhan ekonomi di Asia Pasifik ialah Malaysia.
“Di Malaysia pula, Sarawak disebutkan sebagai wilayah yang berpotensi dengan dasar yang diamalkan di sini, berdasarkan kajian yang dibuat oleh mereka (WEF),” dedah beliau ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong 2025, yang diadakan di sebuah hotel, pada Jumaat.
Tambah beliau, pengiktirafan ini termasuk Bintulu yang kini berada dalam radar dunia sebagai salah satu daripada empat kluster industri rendah karbon di peringkat global, menjadikan daerah berkenaan satu-satunya di Malaysia yang menerima pengiktirafan sedemikian daripada WEF.
Susulan dengan perkara ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu menegaskan bahawa setiap pihak di Sarawak haruslah terus bersatu, seterusnya memanfaatkan kelebihan yang ada dengan idea-idea baharu yang boleh membangunkan wilayah ini ke tahap yang lebih tinggi.
Hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak; Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar; Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak; Dato Idris Buang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan); Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong; Dato Sri Mohamad Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Lupar; Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Batang Sadong; Rodiyah Sapiee, ADUN Simunjan, Awla Dris, serta tetamu kenamaan yang lain-UKAS