KUCHING, 18 APRIL 2025: Jurang maklumat perlu dikurangkan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata walaupun dasar kerajaan baik, ia tidak akan memberikan manfaat kepada masyarakat sekiranya tidak dapat sampai kepada kumpulan sasaran.
Justeru katanya, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) perlu memainkan peranan dalam usaha mengurangkan jurang tersebut.
“Oleh itu, saudara dan saudari sekalian, adalah penting untuk kita melihat realiti dan memandang ke hadapan.
“Dalam usaha membangunkan negeri, AZAM harus diberi lebih tumpuan dalam mengurangkan jurang maklumat ini sebagai pemacu pembangunan negeri,” katanya ketika berucap dalam AZAM Sarawak Ramah Tamah Aidilfitri: Raya Kali Tok di sebuah hotel terkemuka, pada Khamis.
Tambah beliau, AZAM juga berpotensi untuk memperluas impaknya bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga ke seluruh rantau ASEAN dengan jaringan yang sudah terbina di mana mereka dalam kedudukan yang baik untuk menjadi penanda aras serantau dalam komunikasi pembangunan.
Ini khususnya dalam aspek seperti penglibatan belia, pendidikan digital, media berasaskan komuniti dan inovasi sosial, jelasnya.
“Nilai bersama yang dipegang AZAM ialah komitmen mereka untuk memperkasakan suara luar bandar, membina barisan pemimpin muda, dan memajukan strategi komunikasi digital terutamanya ketika kita mengharungi dunia global yang bergerak dengan begitu pantas,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah turut merasmikan pelancaran laman sesawang AZAM Sarawak baharu yang bakal menjadi saluran rasmi komunikasi kepada agensi kerajaan, pemimpin komuniti, institusi pendidikan serta rakan pembangunan dari sektor swasta dan antarabangsa.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS); Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi); Datu Hii Chang Kee, Pengerusi AZAM Sarawak; Datu William Patrick Nyigor, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak; Ali Suhaili serta tetamu kehormat yang lain-UKAS