More
    Home Sarawak Kuching Masyarakat Islam di Sarawak diseru kekalkan sikap toleransi dan nilai-nilai murni

    Masyarakat Islam di Sarawak diseru kekalkan sikap toleransi dan nilai-nilai murni

    KUCHING, 16 APRIL 2025: Masyarakat Islam di Sarawak diseru untuk terus memperkukuh nilai perpaduan, toleransi, serta nilai-nilai murni yang menjadi tunjang keharmonian negeri ini.

    Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelarasan Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyeru agar seluruh masyarakat Islam di Sarawak untuk menerapkan nilai murni bersifat toleransi agar mengekalkan keharmonian dalam kehidupan yang didiami pelbagai bangsa dan agama.

    “Toleransi dan kesederhanaan yang menjadi tonggak utama kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Kesyukuran Aidilfitri Agensi-Agensi Islam Sarawak 1446H/2025 yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak, Kuching pada Selasa.

    Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyempurnakan simbolik Majlis Kesyukuran Aidilfitri Agensi-Agensi Islam Sarawak 1446H/2025-foto UKAS

    Majlis anjuran Majlis Islam Sarawak bersama agensi-agensi Islam negeri itu disifatkan beliau sebagai manifestasi semangat perpaduan dan kesederhanaan.

    Dalam ucapannya juga, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam penganjuran majlis berkenaan, sambil menekankan bahawa pendekatan Islam di Sarawak sentiasa menekankan prinsip toleransi dan dakwah yang berhemah.

    Tema majlis yang membawa elemen nostalgia sejarah perjuangan awal penyebaran Islam di negeri ini turut disentuh beliau sebagai sumber inspirasi ke arah membina Sarawak yang maju, makmur dan harmoni.

    “Pembinaan Sarawak tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan ekonomi, tetapi juga melibatkan pembinaan insan dan kekuatan spiritual,” jelasnya.

    Datuk Dr Abdul Rahman juga menegaskan sokongan penuh Kerajaan Sarawak terhadap usaha memperkukuhkan institusi agama dan memperluas agenda dakwah melalui pendekatan selaras dengan nilai kenegaraan dan keunikan masyarakat Sarawak.

    Beliau turut menyeru agar umat Islam mengambil semangat Syawal sebagai permulaan kepada tekad baharu dalam memperkukuh kekuatan dan perpaduan ummah.

    “Marilah kita menjadikan Syawal ini sebagai titik mula untuk memperbaiki diri dan bersama membina Sarawak yang sejati,” ujarnya.

    Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran para pegawai agensi Islam, pemimpin masyarakat, dan orang ramai yang hadir bagi meraikan suasana Aidilfitri dalam semangat kekeluargaan dan ukhwah Islamiah-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Jurang maklumat perlu dikurangkan, pastikan semua lapisan masyarakat nikmati manfaat pembangunan...

    0
    KUCHING, 18 APRIL 2025: Jurang maklumat perlu dikurangkan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan. Timbalan Premier Sarawak, Datuk...