SEBUYAU, 19 MAC 2025 (SNN): Program SALURAN yang dilaksanakan Sarawak Digital Economy Coporation (SDEC) adalah inisiatif Kerajaan Sarawak meningkatkan liputan internet dan telekomunikasi di kawasan luar bandar Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Kerajaan Sarawak telah meluluskan sejumlah peruntukan besar sebanyak RM2.3 bilion untuk melaksanakan program intervensi kemudahan telekomunikasi di seluruh Sarawak yang melibatkan program SALURAN.
Jelas beliau, sebanyak 618 menara SMART yang merupakan salah satu komponen dari program SALURAN telah dibina oleh SDEC dan sebanyak 453 dari jumlah tersebut kini sudahpun ke udara dan boleh diguna oleh pelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi di seluruh Sarawak.
“382 daripada 453 menara berkenaan adalah menggunakan teknologi MOCN (Multi Operator Core Network) dimana setiap menara boleh digunakan semua jenis penyedia perkhidmatan seperti CelcomDigi, Maxis, Umobile,” katanya semasa berucap pada Program Ziarah Ramadan dan Tanggungjawab Sosial di Sebangan, Sebuyau pada Selasa.

Katanya lagi, semua 6 menara SMART yang dibina di Daerah Sebuyau oleh SDEC juga menggunakan teknologi MCON manakala menara telekomunikasi yang dibina oleh MCMC melalui program JENDELA dan perhidmatan Unifi oleh Telekom Malaysia turut memberi kemudahan internet di seluruh negeri termasuk Daerah Sebuyau.
Ujar ADUN Sebuyau itu lagi, sehingga kini terdapat 29,400 pelanggan MySRBN berjaya didaftarkan di seluruh Sarawak dan untuk Bahagian Kota Samarahan sahaja direkodkan seramai 4,592 pelanggan termasuklah kawasan Sebuyau dengan 775 pelanggan.