LAWAS, 14 MAC 2024: Pemimpin masyarakat di kawasan kampung masing-masing memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan bantuan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mereka yang memerlukan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan sentiasa peka dengan kehendak masyarakat, terutama golongan yang memerlukan bantuan.
“Pelbagai bentuk bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan, termasuk bantuan bayi yang baru lahir, ibu bersalin, sebagai sebahagian daripada dasar-dasar kerajaan Sarawak dalam usaha menyantuni masyarakat.
“Kepimpinan masyarakat harus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan setiap bantuan yang disediakan sampai kepada golongan sasar,” jelas beliau semasa berucap pada Majlis Sejambak Kasih Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Lawas pada Jumaat.
Dalam masa yang sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, seramai 1,215 penerima bantuan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang yang menyambut Hari Raya Aidilfitri akan menerima sumbangan perayaan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 100 orang klien telah dijemput menghadiri majlis hari ini, manakala selebihnya akan menerima bantuan melalui akaun bank, jelasnya lagi.
Beliau berharap Majlis Sejambak Kasih Raya Bahagian Limbang 2025 dapat membantu penerima dan menjadi contoh kepada masyarakat setempat.
Selain itu, beliau turut menyeru agar kepimpinan masyarakat terus bekerjasama dengan JKM dalam merealisasikan visi dan misi jabatan untuk kebajikan rakyat.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak; Semawi Mohamad, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak; Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Residen Bahagian Limbang; Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas; Ladin Atok serta ketua-ketua jabatan, ketua-ketua kaum, ketua-ketua masyarakat dan klien-klien JKM-UKAS