SARIKEI, 11 MAC 2025: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI) menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membantu golongan yang memerlukan di daerah ini.
Penyerahan replika cek peruntukan berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh,dalam Program Jelajah Ramadan DUN Kuala Rajang yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqim, Sarikei pada Isnin.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM2,000 kepada pihak pengurusan Masjid Al-Muttaqim bagi keperluan operasi serta aktiviti masjid selain RM13,950 diperuntukkan sebagai duit raya kepada 279 penerima yang terdiri daripada warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, asnaf dan anak yatim.
Penyerahan sumbangan tersebut disalurkan menerusi Ketua-ketua Kaum di kawasan masing-masing.
Menurut Datuk Len, program tahunan ini diadakan bagi memastikan golongan yang kurang berkemampuan turut merasai kegembiraan menyambut Syawal yang bakal tiba.
Beliau berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat meringankan beban golongan yang memerlukan tetapi juga memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sebagai tanda kebersamaan dalam menghayati keberkatan bulan suci, Datuk Len turut berbuka puasa bersama penduduk dan menunaikan solat Maghrib, Isyak serta Terawih secara berjemaah.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab-UKAS