BARCELONA, 04 MAC 2025: Kerajaan Sarawak secara rasmi telah melancarkan Pavillion Sarawak sempena Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Barcelona 2025 yang berlangsung selama empat hari bermula 3 hingga 6 Mac depan.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua & Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang telah merasmikan pelancaran Pavillion Sarawak di MWC Barcelona 2025 menjelaskan ia sebagai tanda pencapaian penting Sarawak untuk menjadi peneraju serantau dalam transformasi digital dan teknologi pintar.
Pavillion Sarawak berfungsi sebagai platform untuk pelabur global, pemimpin teknologi dan perniagaan bagi meneroka peluang-peluang besar yang ditawarkan oleh Sarawak.
Menurutnya, pelancaran Pavillion Sarawak di MWC Barcelona 2025 menekankan komitmen Sarawak untuk membina ekonomi digital yang berkembang maju, memperluas inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan menggalakkan kerjasama industri untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak mempercepatkan transformasi digitalnya, memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), 5G, pengkomputeran awan, dan IoT untuk mewujudkan peluang perniagaan baru dan memperbaiki kesejahteraan komuniti.
“Pavillion Sarawak di MWC Barcelona menunjukkan kesediaan kerajaan Sarawak untuk berkolaborasi, berinovasi dan berkembang bersama rakan kongsi global,” katanya.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata, inisiatif ini akan membolehkan Sarawak memanfaatkan kepakaran global, meneroka penyelesaian inovatif dan membentuk kerjasama yang memacu pertumbuhan digital dan ekonomi yang mampan.
“Tahun ini, kami memperluaskan penglibatan melalui sesi padanan perniagaan, peluang rangkaian dan perbincangan peringkat tinggi untuk memperkukuh kerjasama dengan pemimpin teknologi global, pelabur, dan pakar industri.
“Melalui penglibatan ini, Sarawak berhasrat untuk menimba kepakaran global, meneroka penyelesaian terkemuka, dan membentuk kerjasama yang bermakna yang akan memacu pertumbuhan digital dan ekonomi jangka panjang bagi negeri kita,” katanya lagi.
Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi); Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS); Datuk Abdullah Saidol serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak-UKAS