KUCHING, 06 FEBRUARI 2025 (SNN):Kerajaan Sarawak telh bersetuju meluluskan sejumlah dana besar sebanyak RM1.085 bilion dalam usaha menambah baik sistem bekalan air dengan melaksanakan projek penggantian dan naik taraf paip lama yang telah uzur terutama di kawasan yang sering mengalami kebocoran dan tekanan air rendah.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, menerusi satu peruntukan besar yang diperuntukan bagi melaksanakan projek penggantian dan naik taraf paip lama di seluruh negeri itu kesemua projek berkenaan dijangka siap menjelang Mei 2028 nanti.
“Projek iitu melibatkan penggantian paip sepanjang 2,740 kilometer dan akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
“Pelaksanaan projek ini juga akan dikendalikan oleh beberapa agensi utama, termasuk Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS) dan Laku Management,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja rasminya ke tapak Projek Penggantian Paip Skim Rampangi I dan II Bahagian Kuching di Jalan Sungai Buah, Rampangi pada Rabu.
Tambah beliau, sebanyak 461 projek akan dilaksanakan bagi memastikan sistem bekalan air di Sarawak lebih cekap dan berdaya tahan dimana Bahagian Kuching akan menerima sebanyak 24 projek penggantian paip lama dengan peruntukan RM59 juta, melibatkan penggantian 59 kilometer paip lama.
Menurutnya, projek itu nantinya akan dikendalikan oleh dua agensi utama iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) yang lebih tertumpu di kawasan pinggir bandar manakala Kuching Water Berhad (KWB) di kawasan bandar.
“Bagi projek yang dikendalikan oleh JBALB, pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun pertama. Pada tahun 2024, sebanyak sembilan projek melibatkan 42 kilometer paip dengan peruntukan RM10.9 juta akan dijalankan.
“Tahun berikutnya, enam projek membabitkan 6.8 kilometer paip dengan kos RM2.2 juta akan dilaksanakan, diikuti sembilan lagi projek sepanjang 33.3 kilometer dengan peruntukan RM4.5 juta pada tahun 2026 dan salah satunya yang sedang dilaksanakan ialah penggantian paip lama di Rampangi dan dua lagi di sekitar Pantai Damai.
“Projek penggantian paip lama di Rampangi menelan kos RM1.6 juta dan telah dimulakan sejak November tahun lalu dan kemajuan projek kini telah mencapai lebih 60 peratus, lebih awal daripada jadual asal,” jelasnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa matlamat utama projek penggantian dan naik taraf paip lama ini adalah untuk mengurangkan kadar kebocoran air atau Non-Revenue Water (NRW) serta meningkatkan tekanan air kepada pengguna dan pihaknya akan memantau pelaksanaan projek berkenaan agar rakyat sentiasa mendapatkan bekalan air bersih.
Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap MUT; Datu Jafri Lias, Pengarah JBALB; Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan serta pegawai-pegawai daripada jabatan dan agensi berkaitan yang lain.