More
    Home Sarawak Kuching Muhammad Nazmi, Guru dari Sarawak Tersenarai 10 Finalis Anugerah Guru Global 2025

    Muhammad Nazmi, Guru dari Sarawak Tersenarai 10 Finalis Anugerah Guru Global 2025

    KUCHING, 31 JANUARI 2025 (SNN): Terkenal dengan pendekatan pengajaran dalam bilik darjah yang inovatif dan pelbagai inisiatif pacu pembangunan komuniti, seorang pendidik dari Sarawak, Muhammad Nazmi yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Long Sebangang disenarai dalam 10 calon finalis untuk Anugerah Guru Global 2025.

    Memetik News Street Times, pengiktirafan ke atas cikgu Nazmi itu meletakkan beliau sebagai salah seorang pendidik paling cemerlang di dunia yang sangat menonjol dalam komitmen mengembangkan pembejalaran di luar bilik darjah.

    Difahamkan, Nazmi mula mendapat perhatian negara selepas beliau memenangi Anugerah Guru Malaysia 2023, anjuran PEMIMPIN iaitu sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada latihan kepimpinan berasaskan bukti untuk guru dan pemimpin sekolah di Malaysia.

    “Kerjanya dalam mengubah pendidikan melalui pengalaman pembelajaran dunia sebenar secara praktikal kini telah mendorongnya ke pentas global dan salah satu inisiatif beliau yang menonjol ialah Kelab Filpen, sebuah program yang mengajar pelajar pembikinan filem, pemasaran dan celik kewangan, di samping menangani cabaran tempatan.

    “Inisiatif yang bermula di SK Luagan, Sarawak itu bukan sahaja memupuk kreativiti dan kepimpinan tetapi juga telah membawa kepada faedah masyarakat yang ketara.

    “Melalui Filpen Club, pelajar berjaya mengumpul dana untuk membeli bot, memastikan kanak-kanak masih boleh bersekolah semasa banjir dan itu adalah cabaran bagi mereka yang berulang-alik di luar bandar Sarawak,” kata kenyataan itu.

    Cikgu Nazmi (tengah atas) antara 10 calon akhir Anugerah Guru Global 2025-foto KPM

    Kini, Nazmi sedang berusaha untuk mengembangkan inisiatif dengan melancarkan Festival Filpen di Sarawak agar dapat memberikan peluang kepada pelajar di seluruh negeri untuk mengembangkan kemahiran bercerita dan kreatif mereka melalui pembikinan filem.

    Menjawab pencapaiannya, Nazmi melahirkan rasa syukur atas peluang mewakili Malaysia sejak dari kemenangannya dalam Anugerah Guru Malaysia 2023 lalu hingga membawanya dalam senarai 10 calon akhir Anugerah Guru Global 2025.

    “Pencapaian ini saya dedikasikan sepenuhnya kepada pelajar saya, yang menjadi inspirasi dan penggerak di sebalik setiap usaha yang saya lakukan,” katanya.

    Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Malaysia,Fadhlina Sidek dalam kenyataan beliau memuji pengiktirafan itu sebagai bukti kecemerlangan pendidikan Malaysia.

    “Pencapaian Cikgu Nazmi itu mempamerkan keupayaan guru di Malaysia untuk memacu perubahan sebenar dalam sistem pendidikan negara.

    “Dengan pendekatan dan inisiatifnya yang berpusatkan pelajar seperti Filpen Club memupuk kreativiti dan kepimpinan, selaras dengan visi kami tentang pendidikan berperikemanusiaan, di mana pembelajaran bukan sahaja mengenai pengetahuan tetapi juga tentang membina sahsiah dan membentuk masa depan negara,” katanya.

    Dalam petikan lain, Pengarah Eksekutif PEMIMPIN Samuel Isaiah berkata, kerja dan kejayaan Nazmi adalah sebagai bukti bagaimana warga pendidik yang bersemangat dapat mencipta impak yang bermakna buat anak murid.

    “Bahkan dengan pengiktirafan beliau dalam Anugerah Guru Global memperkukuhkan lagi bahawa guru Malaysia berpotensi untuk menjadi pemangkin perubahan yang diiktiraf di peringkat global. PEMIMPIN akan terus menyokong dan memperkasakan usaha pendidik cemerlang seperti Cikgu Nazmi,” jelasnya dalam satu kenyataan.

    Untuk makluman, pemenang bagi Anugerah Guru Global 2025 akan diumumkan di Dubai pada 11 Feb dengan membawa hadiah utama sebanyak USD1 juta dan jika berjaya, Nazmi akan menjadi satu-satunya guru Malaysia pertama memenangi anugerah berprestij itu.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Muhammad Nazmi, Guru dari Sarawak Tersenarai 10 Finalis Anugerah Guru Global...

    0
    KUCHING, 31 JANUARI 2025 (SNN): Terkenal dengan pendekatan pengajaran dalam bilik darjah yang inovatif dan pelbagai inisiatif pacu pembangunan komuniti, seorang pendidik dari Sarawak,...