PUSA, 30 JANUARI 2025: Jambatan Saribas perlu disiapkan secepat mungkin, terutama sebelum Hari Raya Aidilfitri 2025, bagi memastikan rakyat Sarawak dapat menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, berkata projek pembinaan jambatan itu dijangka siap menjelang Mei 2025 dan bakal membuka banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
“Dengan siapnya jambatan ini, ia bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk tetapi juga akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi serta kemudahan infrastruktur di seluruh Sarawak,” katanya ketika berucap dalam Program Berkhatan Beramai-Ramai di Dewan Komuniti Kampung Pusa pada Rabu.
Dalam ucapannya, Shafizan turut mengingatkan ibu bapa agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan, khususnya dalam aspek pembangunan pendidikan anak-anak.
“Kita kini berada dalam era yang mencabar di mana celik digital dan teknologi menjadi keperluan utama. Sarawak sedang bergerak seiring dengan perkembangan global, dan pendidikan anak-anak kita harus diberi perhatian,” jelasnya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak teragak-agak untuk mendapatkan bantuan, terutama jika berdepan cabaran dalam pendidikan, kerana pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu.
Penyempurnaan Jambatan Saribas kelak bukan sahaja menghubungkan komuniti, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta kemajuan pendidikan di kawasan sekitarnya-UKAS