More
    Home Sarawak Kuching Sarawak sentiasa perjuangkan hak dan automoni seperti yang termaktub dalam MA63

    Sarawak sentiasa perjuangkan hak dan automoni seperti yang termaktub dalam MA63

    KUCHING, 11 JANUARI 2025: Sarawak terus komited dalam mempertahankan prinsip-prinsip federalisme yang menjadi teras kepada pentadbiran negara ini.

    Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebagai salah satu rakan pengasas yang membentuk Malaysia, Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan kuasa antara kerajaan pusat dan negeri-negeri, serta memastikan hak-hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dihormati.

    Jelas beliau, Sarawak akan sentiasa memperjuangkan hak dan autonominya demi kesejahteraan rakyat serta memastikan wilayah ini kekal sebagai sebahagian daripada tonggak kejayaan Persekutuan Malaysia.

    “Dengan memegang teguh prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan memperjuangkan hak serta tanggungjawab yang diberikan, Sarawak bukan sahaja memastikan masa depannya terjamin, tetapi juga memberi sumbangan kepada kemakmuran bersama Malaysia.

    “Sarawak juga kekal memegang kuasa penting dalam bidang utama seperti tanah dan sumber asli, manakala Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab terhadap urusan yang lebih besar, termasuk pertahanan dan dasar luar negara,” katanya menyampaikan amanat tentang federalisme dari perspektif Sarawak, di Majlis Makan Malam Gala Sempena Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 di salah sebuah hotel terkemuka, pada Jumaat.

    Menjelas lebih lanjut, Abang Jo menegaskan pembahagian kuasa ini mencerminkan bahawa sistem federalisme Malaysia dibina atas asas kerjasama harmoni, yang mana kedua-dua kerajaan pusat dan negeri beroperasi secara seimbang, tanpa ada pihak yang lebih berkuasa, demi mencapai matlamat bersama.

    Tambahnya, Sarawak mengimpikan sebuah persekutuan yang mana perpaduan dan kepelbagaian dapat hidup secara harmoni, dengan kekuatan setiap negeri memberi sumbangan besar kepada kejayaan negara secara keseluruhan.

    “Fokus utama Sarawak adalah kepada pembangunan mampan, tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif hijau, yang selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam bidang-bidang ini.

    “Dengan memanfaatkan sumber-sumber secara bertanggungjawab dan menggalakkan inovasi, Sarawak bertekad untuk menjadi contoh kemajuan dalam persekutuan, sambil memacu perkembangan yang seimbang dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar,”ujar beliau.

    Hadir sama di majlis tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak; Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan); Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Peguam Negara Malaysia; Dato’ Mohd Dusuki Mokhtar, Peguam Besar Negeri Sarawak; Dato Sri Saferi Ali, Peguam Besar Negeri Sabah; Datuk Brenndon Keith Soh, Pengarah Mahkamah Negeri Sarawak; Steve Ritikos, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah; Marutin Pagan, Presiden Persatuan Peguambela Sarawak; Gurvir Singh Sandhu serta dif-dif kenamaan lain-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Sarawak sentiasa perjuangkan hak dan automoni seperti yang termaktub dalam MA63

    0
    KUCHING, 11 JANUARI 2025: Sarawak terus komited dalam mempertahankan prinsip-prinsip federalisme yang menjadi teras kepada pentadbiran negara ini. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr)...