More
    Home Malaysia Kerjasama Sarawak dengan Mitsubishi Power bukti kukuh untuk wujudkan ekonomi berasaskan hidrogen

    Kerjasama Sarawak dengan Mitsubishi Power bukti kukuh untuk wujudkan ekonomi berasaskan hidrogen

    HYOGO, 19 DISEMBER 2024: Industri hidrogen akan memainkan peranan transformatif dalam landskap tenaga global dan Sarawak komited untuk berada di barisan hadapan dalam evolusi ini.

    Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama dengan pemain teknologi terkemuka seperti Mitsubishi Power serta penyelidikan dan pembangunan penting untuk mengoptimumkan potensi penuh hidrogen sekaligus mendorong pertumbuhan mampan bagi rantau ini.

    Menurutnya, perbincangan strategik antara delegasi Sarawak dan kepimpinan Mitsubishi Power juga memberi tumpuan kepada peluang kerjasama serta inisiatif untuk memperkukuh ekosistem hidrogen di Sarawak.

    Katanya lagi, lawatan kerja ke fasiliti hidrogen tersebut akan menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara aspirasi hidrogen Sarawak dengan teknologi hidrogen terkini dari Mitsubishi Power.

    Sepanjang lawatan tersebut, Premier Sarawak dan delegasinya meninjau rantaian nilai hidrogen yang bersepadu di fasiliti itu di samping memperoleh maklumat mengenai teknologi pengeluaran hidrogen generasi baharu dan proses pengesahan pembakaran hidrogen dalam turbin gas canggih.

    Lawatan bersejarah itu mencerminkan komitmen bersama antara Sarawak dan Mitsubishi Power untuk bekerjasama dalam memajukan ekosistem hidrogen serta membina keupayaan tempatan bagi menyokong aspirasi tenaga negeri tersebut.

    Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Bahagian Perniagaan GTCC, Sistem Tenaga Mitsubishi Heavy Industries, Ltd. (MHI), Takuya Murase, menyatakan pihaknya amat berbesar hati menerima kunjungan Premier Sarawak ke Takasago Hydrogen Park.

    Premier Sarawak bersama delegasi melakukan lawatan kerja ke Takasago Hydrogen Park-UKAS

    Katanya, ini seiring dengan hasrat Sarawak untuk memajukan rancangan mewujudkan ekonomi berasaskan hidrogen dan Mitsubishi Power komited untuk menyediakan kepakaran teknologi dan sokongan.

    Sebagai sebahagian daripada sokongan berterusan terhadap pembangunan tenaga di Sarawak, Mitsubishi Power baru-baru ini membekalkan turbin gas berkapasiti 500MW yang bersedia untuk hidrogen kepada Loji Janakuasa Kitaran Gabungan (CCGT) Miri oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

    Projek ini telah dimulakan pada Oktober 2024, dengan turbin gas tersebut direka untuk membakar bahan api yang mengandungi sehingga 30 peratus hidrogen, menjadikannya fasiliti penjanaan tenaga paling canggih di negeri itu.

    Dibangunkan pada tahun 2022, Takasago Hydrogen Park mengintegrasikan pembangunan, demonstrasi, dan pengesahan teknologi pengeluaran, penyimpanan, dan penggunaan hidrogen di satu lokasi.

    Pengujian peralatan pembakaran hidrogen dijalankan di fasiliti pengesahan loji kuasa kitaran gabungan T-Point 2, yang direka untuk menyokong ujian jangka panjang bagi teknologi baharu.

    Mitsubishi Power merupakan jenama penyelesaian tenaga di bawah Mitsubishi Heavy Industries, Ltd. (MHI).

    Mengiringi Premier dalam lawatan tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak; Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

    Turut hadir ialah Peguam Besar Sarawak; Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak; Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan); Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerjasama Sarawak dengan Mitsubishi Power bukti kukuh untuk wujudkan ekonomi berasaskan...

    0
    HYOGO, 19 DISEMBER 2024: Industri hidrogen akan memainkan peranan transformatif dalam landskap tenaga global dan Sarawak komited untuk berada di barisan hadapan dalam evolusi...