MIRI, 01 DISEMBER 2024 (SNN): Kerajaan Sarawak mengambil langkah berani kebolehpercayaan tenaga dengan melancarkan Loji Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri pada Sabtu.
Projek bernilai RM2 bilion itu diterajui oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan rakan kongsinya telah dilancarkan secara rasmi pada 30 November (Sabtu) yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Simbolik Pecah Tanah.
Berucap pada majlis itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, potensi transformatif projek berkenaan mampu meningkatkan dengan ketara infrastruktur tenaga di negeri ini.
“CCGT Miri akan memastikan bekalan kuasa yang lebih bersih dan boleh dipercayai untuk Miri dan Bahagian Utara Sarawak yang menyumbang kepada matlamat kemampanan kami sambil memajukan pertumbuhan ekonomi.
“Loji itu, dijangka mula beroperasi pada penghujung 2027 dan akan menambah 500MW elektrik lagi ke grid Sarawak. Ini membuktikan pencapaian tersebut adalah sejajar dengan matlamat negeri untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 15GW menjelang 2035, dipacu oleh tenaga hidro dan teknologi tenaga bersih.
Beliau berkata sedemikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Loji Kuas Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri pada Sabtu.
Beliau mebanbah, projek itu bukan sahaja sekadar infrastruktur bahkan ia berkait dengan rakyat rakyat, pertumbuhan ekonomi, sekaligus aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Katanya, Loji CCGT Miri ini jelas mencerminkan komitmen Sarawak terhadap kemampanan dengan memanfaatkan teknologi yang lebih bersih dan meningkatkan penggunaan gas domestik daripada enam peratus kepada 30 peratus menjelang 2030.
“Sarawak menerajui rantau ini dalam pengeluaran tenaga bersih. Dengan mengamalkan amalan bertanggungjawab, kami mencipta peluang dan memastikan manfaat sumber asli kami sampai kepada rakyat kami.
“Daripada perancangan hingga pelaksanaan, setiap butiran telah dipertimbangkan dengan teliti. Pencapaian ini adalah bukti dedikasi semua yang terlibat dan setelah beroperasi nanti kilang itu dijangka mewujudkan banyak peluang pekerjaan langsung, seterusnya memperkukuh tenaga kerja industri Sarawak.” jelasnya.
Seru Dato Sri Julaihi, marilah kita memastikan agar Sarawak kekal sebagai negeri yang progresif dengan solusi tenaga bertaraf dunia dan juga bersama-sama, kita membina masa depan yang lebih cerah dan mampan untuk rakyat dan generasi akan datang.
Turut hadir sama Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak; Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan-Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi PETROS; Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dan dif kenamaan lain.