SEBUYAU, 25 NOVEMBER 2024 (SNN): Kejayaan penganjuran Kejohanan Silat Tanding Jmeputan, Piala YB Dato Sri Julaihi Narawi di Sebuyau baru-baru ini amat menggalakkan sekaligus mendorong agar acara itu dijadikan acara tahunan mulai tahun hadapan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi menjelaskan, sambutan penganjuran kali ini amat menggalakkan apabila disertai lebih 288 peserta dari seluruh negeri.
“Ini membuktikan Daerah Sebuyau kini dapat diakses menerusi jalan raya dan kita rancang akan menjadikan kejohanan seperti ini dijadikan acara tahunan bermula pada tahun hadapan.
“Saya juga percaya dengan adanya program seperti ini kita dapat membina hubungan persahabatan dari kalangan persatuan silat di seluruh negeri dan khususnya di sekitar Sebuyau,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kejohanan Silat Tanding Jemputan di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Ahad.
Tambahnya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur iaitu Pertubuhan Seni Silat Helang Putih, Perkasa Sebuyau dengan kerjasama Pejabat daerah Sebuyau dan Rumpun Silat Sarawak (RSS) kerana telah menganjurkan kejohanan dengan jayanya.
Oleh hal sedemikian, katanya lagi, pada tahun hadapan pihaknya akan memberikan peruntukan khas kepada Pertubuhan Seni Silat Helang Putih, Perkasa Sebuyau (SHPP) sebanyak RM30,000 menerusi geran MRP untuk menjalankan kejohanan seumpamanya lagi pada tahun akan datang.
Pada kejohanan kali ini, SHPP Sebuyau A muncul juara bagi kategori Usia Dini dengan merangkul enam pingat emas, dua perak dan empat gangsa diikuti SHPP Kuching dan Pertubuhan Gerak Silat Bayang Miri di tempat ketiga.
Manakala bagi kategori pra remaja pula, SHPP Sarikei muncul jura dengan enam pingat emas, tiga perak dan satu gangsa diikuti SHPP Sebuyau A sebagai naib johan dan SHPP Belaga di tempat ketiga.
Untuk rekod, juara kejohanan kali ini membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 beserta Piala YB, piala iringan, medal dan sijil manakala naib johan membawa hadiah wang tunai RM5,000 beserta piala iringan, medal dan sijil dan tempat ketiga pula membawa pulang RM3,000 beserta piala iringan, medal dan sijil.
Turut hadir sama ialah Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Helang Putih Perkasa Sarawak; Muh Hanef Ali, Presiden SHPP; Dato Mohd Yusnar Matalie, Ketua Bahagian Pembangunan dan Perbadanan Sukan Sarawak; Delia Sarini Ahmad, Pegawai Tadbir Sebuyau; Tahir Putih dan Pengerusi SHPP Sebuyau; Zakaria Taha.