BINTULU, 29 OKTOBER 2024 (SNN): Projek Bekalan Air Labang-Tubau, Bintulu yang dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2026 bakal memberi manfaat kepada 62 buah rumah dan kampung di sepanjang jalan Labang ke Tubau dengan penduduk lebih 3,000 orang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dalam kenyataannya memberitahu, projek yang dibiaya sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu menelan kos pembinaan sebanyak RM130.6 juta yang dibahagikan kepada dua pakaej utama di bawah Sistem Grid Bekalan Air Sarawak.
Katanya, pakej 1 nanti melibatkan pemasangan paip sepanjang 98 kilometer bagi meningkatkan tekanan air dari Labang ke Tubau manakala pakej 2 pula merangkumi kerja-kerja pembinaan Loji Rawatan Air dengan kapasiti 10 Juta Liter Sehari (JLT).
“Loji air ini nanti akan dilengkapi dengan dua tangki aras tinggi berkapasiti 3.5 juta liter setiap satu, takungan air berkapasiti 3 juta liter, sistem air sauk dan infrastruktur mekanikal serta elektrikal,” ujarnya dalam satu kenyataan media selepas meninjau tapak projek di Tubau pada Isnin.
Tambah Julaihi lagi, hasil daripada tinjauan yang dilakukan pakej 2 kini telahpun siap hampir 66 peratus yang mana nantinya apabila siap sepenuhnya dan mula beroperasi mampu menyalurkan bekalan air bersih yang lebih konsisten dan maksimumkan bekalan air di kawasan itu.
Beliau turut menekankan projek tersebut adalah sangat penting dalam memastikan keperluan asas penduduk luar bandar dipenuhi seiring dengan inisiatif pembangunan mampan di Sarawak.
Turut hadir sama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap MUT; Datu Jafri Lias dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB); Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan serta yang lain.