KUCHING, 13 OKTOBER 2024: Majlis Jamuan Negeri bagi meraikan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar ke-78 berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini malam tadi.
Ketibaan beliau diiringi oleh isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi beserta iringan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Sambutan Hari Lahir Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi ke-78 turut menayangkan video khas berjudul ‘Dari Rimba Ke Astana’ yang memaparkan perjalanan beliau sebelum bergelar Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan artis tanah air iaitu, Herman Tino, Dayang Nurfaizah, Bob Yusuf, Gab, Mel Imran, Firdaus Materang dan Claudia serta persembahan khas daripada Bunga Citra Lestari.
Hadir sama pada majlis ialah Timbalan Perdana Menteri; Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak serta tetamu kenamaan yang lain.-UKAS