LAWAS, 22 SEPTEMBER 2024: Penganjuran Program Wanita Dinamik @KPWKM adalah bertujuan bagi memperkasa golongan wanita dalam aspek ekonomi, keselamatan, dan kesihatan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program berkenaan diadakan untuk mendekati golongan wanita di peringkat akar umbi agar mereka berpeluang mendapat maklumat dan kaedah tepat dalam meningkatkan ekonomi keluarga.
“Kita tahu dalam sebuah keluarga, kaum wanita menjalankan peranan yang begitu penting dalam menentukan kesejahteraan hidup keluarga bahkan dalam membangunkan negara kita juga dapat lihat di universiti-universiti pelajar perempuan yang lebih ramai berbanding lelaki.
“Kita memerlukan tenaga kerja yang cukup berkemahiran dan sememangnya wanita memainkan peranan yang begitu penting,” kata beliau semasa berucap dalam Program Wanita Dinamik YKN Sempena Kembara Kasih KPWKM 2024 bertempat di Arena Lawas pada Sabtu.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata golongan wanita di Daerah Lawas juga perlu memanfaatkan inisiatif yang disediakan melalui program tersebut.
Menurutnya ia merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan peranan wanita sebagai salah satu kriteria yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) juga telah memperkenalkan pelbagai program dan inisiatif untuk memastikan kesejahteraan golongan wanita terjamin.
“Program ini diyakini dapat membantu wanita keluar daripada kesusahan dan menjadi lebih dinamik, seterusnya memberi peluang pekerjaan, mengambil upah, dan mengembangkan perniagaan kecil-kecilan.
“Saya menyeru semua yang hadir hari ini untuk memanfaatkan peluang ini dalam meningkatkan pendapatan ekonomi keluarga bagi mencapai taraf kehidupan yang lebih baik,” katanya lagi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas; Dato Henry Sum Agong, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN); Datuk Rohani Abdul Karim, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat; Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Pegawai Ekeskutif Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN); Nordina Haron, Residen Bahagian Limbang; Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas; Ladin Atok, Setiausaha Politik Premier Sarawak; Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Ketua-Ketua Jabatan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas.-UKAS