LAWAS, 19 SEPTEMBER 2024: Kerajaan Sarawak sentiasa menjadikan Piagam Madinah sebagai rujukan dan teladan dalam memastikan pentadbiran yang cemerlang, terutama dalam aspek pembangunan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata elemen-elemen penting seperti hubungan sosial, ekonomi serta keharmonian antara kaum dan agama menjadi fokus utama dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah menyediakan panduan kepada satu sistem kehidupan yang bertamadun, sekaligus menyebarkan risalah syariat Islam.
“Proses ini bermula dari institusi keluarga, sahabat, dan perpaduan kaum, sehingga Islam berjaya ditegakkan sebagai sistem pentadbiran bagi negara-negara Islam pada waktu itu,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Lawas pada Isnin.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu turut mengambil kesempatan untuk mengingati Sambutan Hari Malaysia dan Bulan Kemerdekaan tahun ini agar semua rakyat menjaga keamanan dan kemakmuran yang dikecapi kini dengan sebaiknya demi kesejahteraan generasi akan datang.
Untuk rekod, ebanyak 41 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul Daerah Lawas pada tahun ini dengan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 2024 kategori lelaki dianugerahkan kepada Awang Ibrahim Ahmad manakala kategori wanita dianugerahkan kepada Suriyah Jinin.
Turut hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato’ Henry Sum Agung dan tetamu yang lain.-UKAS