KUCHING, 04 SEPTEMBER 2024: Kerajaan Sarawak komited dalam memperkukuhkan dan menegakkan agensi-agensi penguatkuasaan Syariah bagi memastikan pelaksanaan undang-undang Islam di negeri ini terus dilaksanakan.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kerajaan Sarawak sentiasa memastikan bahawa agensi-agensi penguatkuasaan Syariah seperti Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Pendakwaan dan Mahkamah Syariah terus disokong dan diperkasakan.
“Hal ini penting kerana jabatan-jabatan ini merupakan institusi yang melaksanakan tuntutan perundangan syariah dan kehakiman syariah yang memartabatkan syiar Islam.
“Prinsip-prinsip undang-undang ialah untuk menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga keturunan (nasab), menjaga akal dan menjaga harta yang mana lima prinsip ini sangat relevan dengan Maqasid Syariah dan merupakan teras kepada perundangan dalam Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi semasa Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Sarawak 2024 yang diadakan di Kompleks Islam Sarawak pada Selasa.
Oleh itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menggesa semua lapisan masyarakat untuk memainkan peranan dalam mengekalkan keharmonian, keamanan, dan kestabilan dalam komuniti berbilang budaya.
Turut hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS); Mu’al Suaud, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak; Mahiden Sah, Ketua Penguatkuasa Syariah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS); Dr Awang Nib Zuhairi Awang Ahmad dan tetamu lain-UKAS