KUCHING, 02 SEPTEMBER 2024: Pindaan undang-undang terhadap gangguan seksual perlu dilakukan terutamanya di dalam sesebuah organisasi bagi memastikan hak individu dapat dijaga sepenuhnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, undang-undang berkaitan gangguan seksual kini hanya antara individu sahaja dan tiada untuk organisasi.
“Jadi sekiranya kita ingin mengenakan undang-undang kepada organisasi, kita memerlukan membuat pindaan kepada undang-undang di mana kita dapat buktikan bahawa organisasi itu tidak membuat apa-apa untuk membantu mangsa kes gangguan seksual.
“Langkah tersebut yang melibatkan organisasi perlu dilaksanakan untuk tidak bergantung kepada mangsa sahaja melakukan laporan manakala organisasi tidak melakukan apa-apa tindakan,” kata beliau dalam satu sidang media selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat Parlimen Santubong di Mydin Openg pada Ahad.
Ahli Parlimen Santubong itu menambah, sebagai Menteri yang bertanggungjawab, beliau akan meminta untuk dijalankan kajian terhadap perkara ini agar ia dapat ditambah dan dipinda di dalam undang-undang sedia ada.
Tegasnya, pindaan undang-undang ini akan dilakukan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 bagi memperketat undang-undang tersebut untuk berlaku adil kepada mangsa gangguan seksual tidak kira lelaki atau wanita di dalam sesebuah organisasi.
Baru-baru ini tular apabila seorang pegawai kanan bank di Perak telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang pekerja wanita sejak 2021 namun pihak bank telah menafikan berlakunya gangguan tersebut.
Turut hadir sama ialah Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak; Helmy Hamid-UKAS