KUALA LUMPUR, 20 JULAI 2024: Kerajaan Sarawak sekali lagi mencipta detik bersejarah apabila menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) kerjasama strategik dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Auditorium Menara Affin di sini pada Jumaat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, pemeteraian MoU ini menandakan satu langkah penting dalam usaha Sarawak untuk mencapai Strategi Pembangunan Pasca-Covid 2030 (PCDS 2030).
Menurut beliau, ini merupakan satu peristiwa yang bersejarah bagi Sarawak kerana inisiatif tersebut menandakan usaha negeri itu untuk bekerjasama dengan LTAT dalam potensi kolaborasi yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.
“PCDS 2030 bertujuan menjadikan Sarawak sebuah masyarakat yang berkembang pesat melalui data dan inovasi, dengan semua lapisan masyarakat menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan alam sekitar yang lestari menjelang tahun 2030.
“Sarawak sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencapai matlamat PCDS 2030, antaranya mempromosikan ekonomi hijau dengan tenaga boleh diperbaharui seperti hidroelektrik, solar terapung, hidrogen serta penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS),” katanya selepas menyaksikan penandatanganan MoU di antara Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi.
MoU tersebut juga melibatkan perolehan saham tambahan dalam Affin Bank oleh Kerajaan Sarawak daripada LTAT, di mana kedua-dua pihak akan meneruskan perjanjian jual beli selepas mendapatkan kelulusan pengawalseliaan yang diperlukan.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak juga memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur yang komprehensif seperti jalan raya, jambatan, infrastruktur air dan elektrik, telekomunikasi dan kesalinghubungan internet, serta Autonomous Rapid Transit (ART).
Jelas beliau, pembangunan pelabuhan laut dalam di Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa yang baharu turut dirancang untuk dilaksanakan menjelang 2028.
“Kita juga melabur secara besar-besaran dalam pembangunan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, infrastruktur air dan elektrik, telekomunikasi dan kesalinghubungan internet, ART dan pembangunan strategik yang lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, kerjasama strategik dengan LTAT yang menguruskan Dana Tabung Simpanan yang lestari diharapkan dapat membuka peluang unik untuk Sarawak, terutamanya dalam sektor pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan, dan perkhidmatan.
“Saya percaya bahawa falsafah pelaburan jangka panjang LTAT selaras dengan falsafah pelaburan negeri itu.
“Kerjasama dengan LTAT membuka peluang unik untuk Sarawak meneroka potensi kerjasama terutamanya dalam enam sektor keutamaan iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan, dan perkhidmatan,” tambah beliau.
Premier Sarawak juga yakin Affin Bank boleh memanfaatkan rangkaian yang lebih luas di Sarawak dan menyokong inisiatif pembiayaan lestari di bawah Pelan ESG lima tahunnya.
“Kami percaya bahawa Affin Bank boleh mengakses rangkaian di bawah Sarawak yang lebih luas di mana ia boleh bekerjasama dan memanfaatkan kemampuan perbankan pelaburan dan perbendaharaannya.
“Affin Bank juga berpeluang untuk mengembangkan asas pelanggan runcit di Sarawak dan bekerjasama dalam mempromosikan pembayaran tanpa tunai serta penggunaan perbankan digital.
“Selain itu, Affin Bank boleh menyokong PKS dengan menyediakan akses kepada pembiayaan yang berpatutan dan meningkatkan literasi kewangan melalui platform rangkaiannya.
“Peluang untuk bekerjasama dengan Affin Bank adalah luas, antara lain dalam bidang mempromosikan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan perbankan digital di Sarawak,” tambah beliau.
Premier Sarawak dalam pada itu menegaskan bahawa kerjasama ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak peluang dan kemungkinan pada masa hadapan.
“Marilah kita bersama-sama tidak gentar menghadapi rintangan yang menanti di hadapan kerana di dalam cabaran-cabaran ini terdapat potensi yang besar dan saya berharap menerusi MoU ini, Sarawak dan LTAT akan terus meneroka potensi kerjasama,” katanya.
MoU yang ditandatangani hari ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan Sarawak, memperkukuh hubungan antara Kerajaan Sarawak dan LTAT, serta menyokong inisiatif ekonomi yang lebih luas di negeri itu.
Majlis menandatangani MoU itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri; Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Persekutuan dari Sarawak, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia; Adly Zahari, Setiausaha Kewangan Sarawak; Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar serta tetamu kehormat lain.-UKAS