KUCHING, 14 JULAI 2024: Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan perbadanan koperasi di negeri ini untuk terus berkembang seiring dengan keperluan semasa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan dari segi kewangan atau latihan akan terus disalurkan dan kerjasama di antara agensi persekutuan dan kerajaan negeri diperkukuhkan melalui koordinasi pangkalan data usahawan dan koperasi.
“Hal ini adalah bagi mengelakkan berlaku pertindihan geran ke atas koperasi yang sama.
“Keseimbangan dalam penerima geran dapat diperluaskan supaya semua pihak mendapat manfaat, malahan program bantuan juga tidak akan tertumpu pada satu kawasan sahaja,” kata beliau ketika ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Sarawak pada Sabtu.
Sambutan tersebut diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada gerakan koperasi terhadap sumbangan dan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi negara.
Untuk rekod, Sarawak mempunyai sebanyak 1,190 koperasi dengan keahlian seramai 313,917 orang setakat ini membabitkan perolehan berjumlah RM369 juta.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Keusahawanan); Datuk Dr Ripin Lamat, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED); Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong; Rodiyah Sapiee serta tetamu kehormat lain-UKAS