More
    Home Sarawak Kuching Pelaksanaan Projek Utiliti Air Bawah RM50 Juta Melalui Kerajaan Negeri Akan Dibincangkan

    Pelaksanaan Projek Utiliti Air Bawah RM50 Juta Melalui Kerajaan Negeri Akan Dibincangkan

    KUCHING, 07 JULAI 2024: Pelaksanaan projek yang melibatkan pembangunan utiliti air di bawah kos RM50 juta melalui kerajaan negeri akan dibincangkan.

    Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof memaklumkan perbincangan untuk memberikan kebenaran terus kepada kerajaan Sarawak dan Sabah untuk menjalankan projek utiliti air ini akan diadakan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Agensi yang telah diiktiraf seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) perlu juga diiktiraf sebagai jabatan teknikal supaya projek-projek yang kecil itu iaitu projek di bawah RM50 juta dapat dijalankan terus melalui kerajaan Sarawak dan Sabah.

    “Ini perkara yang akan dibawa ke Majlis Tindakan MA63 yang kini sedang menentukan tarikhnya untuk mengadakan pertemuan antara Perdana Menteri bersama Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah,” jelas beliau ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis penutupan Program Bantuan MyLesen Kelas B2 peringkat Parlimen Petra Jaya pada Sabtu.

    Dato Sri Fadillah Yusof menerima cenderamata daripada Pengarah JPJ Sarawak-foto UKAS

    Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air dan Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Sarawak dan Sabah memberitahu, inisiatif ini adalah untuk memastikan projek-projek utiliti air terutamanya di kawasan luar bandar dapat diteruskan serta menyelesaikan isu masalah projek terbengkalai seperti mana yang dilaporkan baru-baru ini.

    Mengulas mengenai program pula, Dato Sri Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menggesa ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak mereka supaya tidak menggunakan motorsikal tanpa lesen dan topi keledar untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

    Untuk rekod, seramai 538 peserta yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah telah terpilih untuk menjalani ujian bagi mendapatkan lesen kelas B2.

    Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong; Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Satok; Dato Ibrahim Baki, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak; Norizan Jili dan Pegawai Daerah Kuching; Sofhi Jebal.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Muhammad Nazmi, Guru dari Sarawak Tersenarai 10 Finalis Anugerah Guru Global...

    0
    KUCHING, 31 JANUARI 2025 (SNN): Terkenal dengan pendekatan pengajaran dalam bilik darjah yang inovatif dan pelbagai inisiatif pacu pembangunan komuniti, seorang pendidik dari Sarawak,...