SAMARAHAN (SNN) – PADA MASA INI USAHA DAKWAH harus dilakukan secara sopan-santun untuk menarik hati sasaran dan untuk menjalinkan perhubungan yang mesra. Pendakwah agama suci Islam mestilah bijak memujuk masyarakat dengan sopan-santun mengikut adat dan amalan setempat supaya ummah sentiasa mantap dengan ukhuwah dan perpaduan.
Yang Berhormat Datuk Haji Julaihi Narawi, Menteri Muda Jalan Pesisir dan juga wakil rakya ADUN N.27 Sebuyau telah menyeru pendakwah Islam hendaklah menyantuni masyarakat supaya dakwah mereka mencapai kejayaan yang lebih tinggi selaras dengan tema tahun ini, “Menyantuni Ummah Membawa Rahmat”.
Beliau berkata demikian semasa berucap untuk merasmikan Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan di Masjid Darul Iman, Kampung Sadong Jaya pada 17 November 2018. Beliau seterusnya berkata, “Setiap manusia berhak untuk disantuni walaupun berbeza fahaman dan pegangan. Dalam membina kesejahteraan negara, kita perlu memberikan komitmen dan keikhlasan dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman terus segar.”
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah YB Dato Sri Mohd Ali Mahmud ADUN N.17 Stakan; YB Ir.Aidel Lariwoo ADUN N.24 Sadong Jaya, YB Awla Deris ADUN N.25 Simunjan serta Haji Berahim Lumpu, Residen Bahagian Samarahan.
Tilawah Al-Quran pada tahun ini Kategori Qari telah dimenangi oleh Muhammad Hafiez bin Shafie (Samarahan) telah menjadi johan dan diikuti oleh Jubin bin Sulong (Samarahan) sebagai naib-johan dan Khalidi bin Ayup mendapat tempat tiga.
Bagi Kategori Qariah pemenangnya adalah Isah binti Jamalidin (Samarahan) sebagai johan; Fahsihah binti Arpa (Asajaya) mendapat naib Johan dan Siti Jamilah binti Abd Rahman (Samarahan) menduduki tempat ketiga.
Johan qari dan qariah masing-masing mendapat hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM1,000.00 di samping piala dan sijil.