KUCHING, 28 MEI 2024: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat delegasi pembekal tenaga bersih milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu, Abu Dhabi Future Energy Company PJSC, yang lebih dikenali sebagai MASDAR.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Mohamed Jameel Al Ramahi, kunjungan hormat tersebut dibuat susulan selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan MASDAR semasa Persidangan ke-28 Pelbagai Pihak (COP28) sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Dubai tahun lepas.
Jelasnya, MoU itu ditandatangani untuk melabur dan menilai peluang dalam membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui, terutamanya mengenai solar terapung.
“MASDAR sangat berharap untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tempatan kami, Sarawak Energy di bawah bimbingan dan sokongan Premier Sarawak dan kerajaan Sarawak.
“Kami menyasarkan untuk membangunkan kapasiti (tenaga) gigawatt di Malaysia dan merentasi negara Asia yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita UKAS selepas kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.
Mohamed Jameel menambah, MASDAR, sebagai salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar, komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi tempatan mereka untuk melabur dan membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar.
Turut hadir dalam kunjungan itu Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, CEO Kumpulan SEB; Datuk Sharbini Suhaili, dan CEOPetroleum Sarawak Berhad (PETROS); Dato Janin Girie.
Sejurus itu, Datuk Patinggi Abang Zohari kemudian turut menerima kunjungan hormat Pengerusi George Kent (Malaysia) Berhad, Tan Sri Tan Kay Hock bagi membincangkan rancangan industri air tambahan untuk Sarawak selain daripada penjualan air sebagai komoditi.-UKAS