BANGKOK, 17 MEI 2024: Kerajaan Sarawak terus mendapat pengiktirafan dari luar negara dalam perubahan tenaga yang sedang giat dilaksanakan di negeri ini.
Sehubungan itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekali lagi akan diberi penghormatan untuk memberi ucaptama dalam Persidangan Tenaga Masa Hadapan Asia (FEA CONFAB) yang berlangsung di Bangkok, hari ini.
Difahamkan beliau akan menyentuh mengenai pengalaman Sarawak dalam membangunkan tenaga boleh diperbaharui seiring usaha kerajaan untuk mempraktikkan ekonomi nyahkarbon di wilayah Sarawak.
Ketibaan rombongan dari Sarawak turut diiringi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Peguam Besar Sarawak; Datu Saferi Ali, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB; Datuk Sharbini Suhaili dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi; Datu Lester Mathew.-UKAS