KUCHING, 30 APRIL 2024: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk menjadi negeri kedua tertinggi sebagai penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pada masa ini Kuala Lumpur menjadi penyumbang utama KDNK, manakala Selangor penyumbang kedua dan kini Sarawak di tempat ketiga setelah mengatasi Johor Bharu.
“Kita harus yakin dan mengatur strategi suapaya KDNK kita tinggi dan saya yakin kita akan dapat mengatasi Selangor. Dapat atau tidak terpulang pada kita untuk mengatur strategi ekonomi kita dan ini yang kita sasarkan sebelum menjelang pilihan raya negeri akan datang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PBB pada Ahad.
Premier Sarawak yang juga Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menambah, usaha ini adalah langkah dan usaha untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kepimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berada dalam landasan yang betul.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu PBB turut opitimis dalam melatih kepimpinan muda untuk meneruskan legasi dalam memajukan Sarawak pada masa akan datang.
“Kita harus melatih pimpinan lebih muda untuk melahirkan pemimpin yang kuat dan relevan pada masa hadapan tanpa masalah yang dihadapi seperti politik wang dan sebagainya.
“Namun setakat ini kita dapat menguruskan parti kita dengan baik dan ini dapat memberi ruang kepada orang muda untuk memimpin pada masa akan datang. Keadaan akan sentiasa berubah, landskap politik pun akan berubah dengan sektor ekonomi diuruskan dengan cara baharu,” tegasnya lagi.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Parti PBB Sarawak yang juga Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Naib Yang Dipertua Kanan Parti PBB Sarawak merangkap Timbalan Perdana Menteri; Dato Sri Fadillah Yusof, Pengerusi Tetap Parti PBB dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Pengerusi Pengelola Ramah Tamah Aidilfitri Majlis Tertinggi PBB Sarawak dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak; Fazzrudin Abdul Rahman, Naib-Naib Yang Dipertua Parti PBB, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PBB, Veteran-Veteran Parti PBB sarawak, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB Sarawak dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB.-UKAS